Mahkamah Timbang Tara Sukan tolak rayuan Israel sertai Kejohanan Gimnastik Dunia

Indonesia minggu lalu memaklumkan tidak akan mengeluarkan visa kepada atlet gimnastik Israel yang layak ke kejohanan dunia di Jakarta itu.
BERLIN: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Selasa memaklumkan bahawa ia telah menolak dua rayuan oleh Persekutuan Gimnastik Israel (IGF) berhubung permohonan langkah sementara dalam usaha mereka untuk menyertai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Indonesia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
IGF membawa kes itu ke CAS terhadap badan induk sukan gimnastik dunia, Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), selepas kerajaan Indonesia minggu lalu memaklumkan tidak akan mengeluarkan visa kepada atlet gimnastik Israel yang layak ke kejohanan dunia selama tujuh hari di Jakarta yang dijadual bermula Ahad ini.
Dalam rayuan pertama, IGF mahu kenyataan FIG dibatalkan selepas badan itu menyatakan bahawa ia "mengambil maklum" keputusan kerajaan Indonesia. Bagaimanapun, CAS berkata rayuan itu ditolak sepenuhnya atas alasan tiada bidang kuasa.
Rayuan kedua, yang dikemukakan oleh IGF bersama enam atlet layak termasuk juara dunia dan Olimpik acara lantai Artem Dolgopyat, bertujuan meminta CAS mengarahkan FIG sama ada menjamin penyertaan Israel atau, sebagai alternatif, membatalkan atau memindahkan kejohanan itu.Walaupun permohonan langkah sementara itu ditolak, CAS berkata rayuan tersebut masih diteruskan.
Pihak Israel berkata mengikut perlembagaan FIG, keputusan daripada jawatankuasa eksekutif diperlukan sekiranya visa tidak diberikan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian. Kegagalan membuat keputusan sedemikian, katanya, bersamaan dengan penafian keadilan dan tindakan diskriminasi terhadap satu daripada ahli FIG.
FIG pula berhujah bahawa isu visa berada di luar bidang kuasa mereka sepenuhnya.
Indonesia, negara majoriti Islam yang paling ramai penduduk di dunia dan telah lama menyokong perjuangan Palestin, menegaskan pendirian tersebut tidak berubah. Menteri Kehakiman Yusril Ihza Mahendra berkata gencatan senjata perang Gaza antara Israel dan Hamas tidak akan menjejaskan keputusan untuk tidak mengeluarkan visa.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami