KUALA LANGAT: Kedatangan Tahun Arnab sempena Tahun Baharu Cina (CNY), membawa tuah kepada pengusaha kuih kapit, Kapit King Virallicious apabila jumlah jualannya melonjak secara mendadak ekoran sambutan luar biasa diterima daripada pelanggan.

Pengusahanya Noraisah Ahmad, 41, berkata dia mula menerima tempahan kuih tersebut sejak November lalu dan kini, sebanyak 80,000 balang berjaya dijual ke seluruh negara.

Katanya hasil jualan kuih tersebut meningkat sekali ganda berbanding musim sambutan CNY pada 2019, dan ketika tempoh pandemik COVID-19, yang meyaksikan jualan kuih itu agak kurang memberangsangkan.

"Pada hari-hari biasa (luar musim perayaan), kami mampu menghasilkan sebanyak 3,000 balang kuih kapit sehari.

"Namun, disebabkan permintaan tinggi daripada pelanggan, kami menggaji 10 pekerja separuh masa untuk membantu 15 pekerja sedia ada bagi meningkatkan penghasilan kepada 4,000 balang sehari," katanya kepada Bernama.

Sementara itu Noraisah berkata kebanyakan pelanggan yang terdiri daripada kaum Cina itu membeli kuihnya secara borong untuk dijual semula memandangkan kuih kapit sinonim dijadikan kudapan wajib untuk tetamu sempena CNY.

Bekas guru itu berkata dirinya begitu teruja dengan sambutan luar biasa yang diterimanya walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ketika ini.

Noraisah memulakan perniagaannya dari rumah pada 2014 menggunakan mesin pembuatan kuih pemberian arwah ibunya yang sebelum ini mengusahakan perniagaan yang sama.

Beliau kini mempunyai kedai lima pintu di Sijangkang yang beroperasi sejak 2016 dan mempunyai agen jualan mencecah lebih 300 orang di seluruh negara.

-- BERNAMA