Kumpulan pertama seramai 497 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Ketibaan 233 jemaah lelaki dan 264 wanita pada 7 malam itu disambut Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air Mohd Hisham Harun, beberapa pegawai Tabung Haji (TH) dan anggota keluarga para jemaah.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Hisham berkata kumpulan pertama jemaah haji itu berlepas pada 3.46 pagi waktu Arab Saudi menerusi penerbangan FLYNAS (XY7604) dari Jeddah.

Beliau berkata operasi haji tahun ini juga berjalan lancar dengan kerjasama baik daripada kerajaan Arab Saudi membolehkan jemaah haji Malaysia melaksanakan ibadah itu dengan selamat, selesa dan teratur.

Mohd Hisham berkata seramai 19 jemaah Malaysia meninggal dunia disebabkan serangan jantung, jangkitan kuman dalam paru-paru, lelah dan radang paru-paru iaitu sembilan di Makkah dan Madinah sebelum wukuf dan 10 lagi selepas selesai mengerjakan wukuf.

Bagi jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan haji, TH juga telah melaksanakan badal haji terhadap mereka, katanya.

Sebanyak 81 penerbangan digunakan bagi membawa kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 25 Sept ini.

Sementara itu, seorang jemaah haji Abdul Hanif Abu Bakar ketika diminta berkongsi pengalaman semasa ribut pasir melanda Arafah, menyifatkan kejadian luar biasa tersebut amat menakutkan.

Abdul Hanif, 54, dari Gombak, Selangor berkata pengalaman berdepan detik cemas itu akan tersimpan sebagai kenangan yang sukar dilupakan oleh sesiapa sahaja yang berada di tempat kejadian.

"Hanya laungan azan, zikir dan doa tidak putus-putus kedengaran daripada jemaah Malaysia bagi mendoakan kami dihindarkan daripada sebarang kejadian lebih teruk.

"Alhamdulillah, kejadian 6.30 petang pada 20 Ogos itu berakhir satu setengah jam kemudian dengan semua jemaah selamat walaupun khemah kami bergoyang begitu kuat,” katanya.

Bagi Hasmah Maidin, 67, kejadian itu tidak menghalangnya mengerjakan semua amalan dan bersyukur urusan ibadah hajinya berjalan lancar walaupun berdepan dugaan yang tidak pernah difikirkannya sebelum ini.

“Sebagai tetamu Allah saya reda dengan ujian itu dan bersyukur tidak mengalami kecederaan walaupun keadaan ribut yang melanda amat menakutkan,” katanya yang berada di dalam khemah bersama-sama 290 jemaah ketika ribut pasir melanda.

- Bernama