KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama Simen Rahmah telah berjaya diserahkan ke beberapa projek pembinaan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan Simen Rahmah berkenaan akan dibekalkan secara beransur-ansur sehingga 30 Jun 2028, dengan perbezaan harga ditanggung sepenuhnya oleh pengeluar simen.

"Pelaksanaan Inisiatif Simen Rahmah ini selari dengan visi agenda MADANI nasional iaitu menyumbang kepada penyediaan rumah mampu milik kepada golongan sasar kumpulan B40 dan M40," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan tersebut.

Inisiatif ini melibatkan harga rumah dalam kategori rumah mampu milik, iaitu yang berharga RM300,000 dan ke bawah untuk kumpulan sasaran B40 dan M40, membabitkan sumbangan besar subsidi berjumlah RM120 juta kepada bakal pembeli rumah.

Bagi simen kampit pula ditawarkan dengan RM17.50 sekampit iaitu perbezaan pengurangan sebanyak RM5 daripada pasaran semasa.

KPKT turut menyeru semua pemaju perumahan yang layak untuk menyertai Inisiatif Simen Rahmah melalui kelulusan permit iklan dan jualan perumahan melalui Housing Integrated Management System (HIMS) di bawah KPKT.

-- BERNAMA