MALAYSIA
Kumpulan pertama sukarelawan misi kemanusiaan ke Gaza berlepas ke Sepanyol

Dr Ahmad Sani bersama kumpulan pertama sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama sukarelawan Sumud Nusantara yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berlepas ke Barcelona, Sepanyol menandakan permulaan usaha memecahkan sekatan Israel yang menyebabkan penduduk Gaza terus berdepan krisis kebuluran.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery, berkata kumpulan awal itu terdiri daripada 15 sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Gaza Malaysia (CGM), Gagasan MyAqsa Defender dan Cinta Salam Malaysia (CSM).
“Misi ini bukan sahaja membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan, tetapi lebih penting untuk menyatukan hati seluruh dunia dalam mendesak agar peperangan di Gaza dihentikan.
"Ini juga rentetan usaha yang dilaksanakan oleh MAPIM bersama dengan CGM dalam Konvoi Sumud Nusantara sempena Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang media pelepasan kumpulan berkenaan, hari ini.Menurut Ahmad Sani, perjuangan itu tidak terhenti dengan keberangkatan kumpulan pertama, sebaliknya dua kumpulan lagi dijadualkan menyertai misi sama pada hujung bulan ini.
Kumpulan pertama dijangka memulakan pelayaran dari pelabuhan di Sepanyol pada 31 Ogos dan mengambil masa sekitar 17 hari untuk tiba di perairan Gaza.
Jelas Ahmad Sani, GSF disertai sukarelawan daripada 50 negara yang memilih laluan laut sebagai jalan kemanusiaan ke Gaza.
“Laluan laut menjadi pilihan kerana Israel mengenakan sekatan ketat melalui darat, laut dan udara, menyebabkan penghantaran bantuan terhenti, manakala kebuluran semakin parah hingga diisytiharkan sebagai ‘famine’ oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami memohon doa dan sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia agar misi ini berjaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, telah berlepas lebih awal ke Barcelona bagi menyelaras persiapan bersama jawatankuasa induk antarabangsa sebelum ketibaan kumpulan pertama.
Perkembangan terkini mengenai misi itu akan dimaklumkan secara berperingkat, dengan mengambil kira aspek keselamatan sukarelawan.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan sebuah flotila awam berskala besar dijadual belayar ke Gaza hujung bulan ini, dengan kumpulan pertama berlepas dari Sepanyol pada 31 Ogos, diikuti kumpulan kedua dari Tunisia pada 4 September.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami