Kuota wanita dalam politik perkukuh asas demokrasi negara - Yeo

YEO: Kehadiran wanita dalam kepimpinan menambah nilai dalam pembuatan dasar khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial, ekonomi keluarga dan keadilan sosial. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kuota 30 peratus wanita dalam politik antara langkah penting memperkukuh asas demokrasi negara agar lebih inklusif dan adil, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (Parlimen) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Yeo Bee Yin.
Ringkasan AI
- Kuota 30 peratus wanita dalam politik dilihat sebagai langkah penting memperkukuh asas demokrasi agar lebih inklusif dan adil, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin.
- Yeo menyatakan perlunya komitmen politik yang jelas untuk memperkukuh perwakilan wanita menerusi undang-undang yang lebih tegas dan berkesan bagi meningkatkan kehadiran wanita dalam kepimpinan serta nilai dalam pembuatan dasar.
- Taklimat bertajuk 'Kuota 30 Peratus Wanita Dalam Politik' di Parlimen bertujuan memperkukuh pemahaman Ahli Parlimen terhadap perlunya melaksanakan kuota minimum 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya umum dan negeri untuk mencapai kesamarataan jantina dan memperkasakan peranan wanita dalam kepimpinan negara.
Menurut Yeo, hasil perbincangan itu menunjukkan sudah tiba masanya Malaysia melangkah ke hadapan dengan komitmen politik yang jelas untuk memperkukuh perwakilan wanita menerusi pendekatan undang-undang lebih tegas dan berkesan.
"Matlamat program ini bukan hanya untuk meningkatkan bilangan wanita dalam politik, tetapi untuk memperkukuh asas demokrasi negara agar lebih inklusif, adil dan mencerminkan kepelbagaian sebenar masyarakat Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian taklimat bertajuk 'Kuota 30 Peratus Wanita Dalam Politik: Memperkukuh Perwakilan Wanita Melalui Pindaan Undang-Undang' di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen hari ini.
"Kehadiran wanita dalam kepimpinan menambah nilai dalam pembuatan dasar khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial, ekonomi keluarga dan keadilan sosial," katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak tanpa mengira parti, jantina atau ideologi untuk menjadikan agenda memperkukuh perwakilan wanita sebagai tanggungjawab bersama, demi masa depan demokrasi Malaysia yang lebih matang dan saksama.
Sementara itu, Parlimen Malaysia dalam kenyataan memaklumkan taklimat itu bertujuan memperkukuh kefahaman Ahli-ahli Dewan Negara dan Ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap keperluan melaksanakan kuota minimum 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya umum dan negeri melalui pendekatan undang-undang lebih menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan merupakan sebahagian inisiatif berterusan Parlimen Malaysia menerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat untuk memperkukuh dasar kesamarataan jantina dan memperkasakan peranan wanita dalam kepimpinan serta proses membuat keputusan di peringkat tertinggi negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


