GEORGE TOWN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan penganjuran sekurang-kurangnya 10 Jualan MADANI KUSKOP di Pulau Pinang tahun ini sebagai usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata setakat ini, tujuh program jualan berkenaan telah dianjurkan di negeri itu, dengan kementerian akan terus memperluas penganjurannya ke kawasan lain berdasarkan keperluan dan kesesuaian.
"Di Pulau Pinang kita akan cuba melancarkan sekurang-kurangnya 10 (Jualan MADANI KUSKOP), tetapi kita lihat kepada keperluan dan kesesuaian juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan MADANI KUSKOP di Seri Delima, di sini hari ini.
Sim berkata program berkenaan mempunyai tiga matlamat utama iaitu menyediakan peluang kepada rakyat membeli barangan runcit dan keperluan harian pada harga lebih rendah, memberi ruang kepada peniaga khususnya usahawan tempatan menjalankan perniagaan serta membawa perkhidmatan agensi kerajaan terus ke kawasan komuniti.
Beliau berkata lebih 80 jenis barangan keperluan harian termasuk barangan basah, daging, makanan serta barangan pencuci rumah ditawarkan pada program berkenaan dengan diskaun hingga 30 peratus.
"Pada masa sama, kita bawa juga agensi-agensi kerajaan supaya rakyat dan penduduk setempat tidak perlu pergi ke pejabat kerajaan, sebaliknya pejabat kerajaan turun ke kawasan ini untuk memberikan perkhidmatan secara langsung kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, Sim berkata beliau turut berbangga dengan inisiatif sekumpulan anak muda yang pernah menyertai program anak angkatnya untuk membuka reruai jualan bagi mengumpul dana membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Beliau berkata kebanyakan mereka masih menuntut di universiti, kolej dan politeknik namun mengambil inisiatif untuk membantu golongan memerlukan.
"Saya rasa amat bangga dengan inisiatif mereka. Walaupun mereka masih lagi bersekolah, tetapi mereka ambil inisiatif untuk bantu orang-orang lain yang susah," katanya.
ADUN Seri Delima Connie Tan berkata penganjuran Jualan MADANI KUSKOP itu merupakan yang pertama di kawasan berkenaan dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Beliau berkata penduduk turut menerima baucar diskaun tambahan bernilai RM5 seorang bagi pembelian barangan yang ditawarkan pada program tersebut.
-- BERNAMA