PUTRAJAYA: Kutipan keseluruhan zakat Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada tahun lepas meningkat 11 peratus kepada lebih RM1.03 bilion berbanding RM937 juta pada 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata jumlah pembayar zakat pada 2023 juga meningkat sebanyak satu peratus kepada 1.85 juta orang berbanding 1.83 juta orang pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata zakat pendapatan menyumbang kutipan tertinggi tahun lepas iaitu 68 peratus atau RM702 juta, diikuti zakat perniagaan sebanyak 16 peratus atau RM165 juta, manakala baki terdiri daripada zakat wang simpanan, zakat harta, fitrah, qada dan lain-lain.

"Saluran bayaran melalui potongan gaji menjadi pilihan utama pembayar yang telah menyumbang 50 peratus daripada keseluruhan kutipan iaitu sebanyak RM519 juta," katanya dalam sidang media Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2023 di sini hari ini.

Pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengerusi PPZ-MAIWP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, Mohd Na'im berkata saluran kaunter PPZ-MAIWP pula mengutip sebanyak RM175 juta, portal PPZ-MAIWP merekodkan RM132 juta dan kutipan daripada ejen mencecah RM61 juta.

Setakat Disember tahun lepas, beliau berkata MAIWP telah mengagihkan RM952.27 juta dana zakat kepada lapan golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif termasuk skim bantuan zakat, al-Wakalah, institusi pendidikan dan kebajikan, prasarana umat Islam, perbelanjaan penyelenggaraan prasarana dan amil.

Mohd Na'im berkata antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat ialah strategi pemasaran dan promosi berterusan yang dilaksanakan PPZ-MAIWP berjaya menarik minat dan memupuk kesedaran berzakat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, kepelbagaian saluran bayaran dan Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat telah berjaya menarik minat pembayar baharu dan pembayar sedia ada untuk mengekalkan dan menambah bayaran zakat, katanya.

Mohd Na'im berkata kutipan wakaf tunai bagi 2023 turut meningkat sebanyak 162 peratus kepada RM6.64 juta dengan jumlah pewakaf sebanyak 14,635 orang berbanding RM2.53 juta pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM4.5 juta adalah melalui kutipan wakaf khas dan bakinya RM2.1 juta menerusi kutipan wakaf am, katanya.

Saluran yang menjadi pilihan pembayar wakaf adalah melalui kaunter PPZ iaitu sebanyak 33 peratus atau RM2.1 juta, manakala melalui ejen yang dilantik ialah RM1.3 juta, tabung masjid RM1.1 juta, dan selebihnya melalui kaunter kelompok, portal PPZ, potongan gaji dan saluran lain, katanya.

Mohd Na'im berkata pada tahun ini, MAIWP menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf tunai sebanyak RM1.12 bilion dengan jumlah bilangan pembayar 1.96 juta orang.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya berkata MAIWP telah menaikkan kadar bantuan barangan keperluan asasi daripada RM150 kepada RM300 sebulan berkuat kuasa bulan ini.

"Bantuan barangan keperluan asasi yang disalurkan menerusi aplikasi dompet elektronik ketua keluarga, merupakan bantuan tambahan kepada wang tunai yang diterima mereka.

"Kami menganggarkan lebih 30,000 keluarga yang akan mendapat manfaat daripada bantuan keperluan barangan asasi ini," katanya.

-- BERNAMA