KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli (PPA).

Platform layan diri ini dilaksana bagi memudahkan pembelian produk insurans perlindungan hayat dan perlindungan penyakit kritikal daripada Akaun 2 ahli.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, saluran perlindungan sosial dan keselamatan kewangan itu dapat meringankan bebanan kepada ahli sekiranya berlaku situasi tidak diduga dan di luar kawalan.

Tambahnya, melalui platform itu, ahli boleh mengakses maklumat dan kadar harga insurans dan takaful sedia ada serta membelinya pada bila-bila masa tanpa memerlukan pemeriksaan kesihatan.

"Faktor utama yang sering dijadikan alasan untuk tidak memiliki insurans atau takaful ialah harga dan kemampuan," kata Ahmad Badri.

Untuk itu, KWSP, jelasnya, bekerjasama dengan syarikat insurans dan pengendali takaful iaitu FWD Takaful Berhad, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Life Insurance Berhad, dan Etiqa Family Takaful Berhad.

Syarikat-syarikat tersebut, ujarnya, sedia menawarkan harga pakej perlindungan yang berpatutan kepada ahli KWSP yang berpendapatan rendah.

"Saya yakin bahawa kemudahan i-Lindung ini akan memberikan manfaat yang sangat besar kepada ahli KWSP kerana perlindungan persaraan dan perlindungan insurans dan takaful adalah saling melengkapi," jelas Pengerusi KWSP itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kemudahan Insurans dan Takaful i-Lindung KWPS yang dirasmikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.

"Pemilikan polisi insurans dan sijil takaful dalam kalangan rakyat negara ini adalah masih rendah lebih-lebih lagi dalam kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah atau B40. 

"Situasi ini amat membimbangkan kerana segmen ini lebih terdedah kepada bencana dan berdepan dengan kekurangan perlindungan.

"Di peringkat industri pula, kadar pemilikan perlindungan insurans dan takaful yang rendah pastinya akan membantutkan pertumbuhan industri perlindungan insurans secara menyeluruh," kata Ahmad Badri lagi.

Tambahnya, kajian Persatuan Insurans Hayat Malaysia pada tahun 2022 mendapati kadar penembusan insurans di negara pada paras 56.1 peratus untuk insurans dan takaful.

Bagaimanapun selepas menolak jumlah pemegang polisi yang mempunyai lebih daripada dua polisi, kadar tersebut berkurangan kepada 41 peratus sahaja.

"Justeru, kemudahan i-Lindung ini diwujudkan dan KWSP yakin bahawa selain dapat membantu ahli mendapat perlindungan insurans dan takaful ia juga berupaya membantu merealisasikan hasrat negara untuk mencapai kadar penembusan insurans lebih daripada 70 peratus.

"Namun, untuk mencapai sasaran tersebut, kita perlu menggembleng usaha untuk menangani sebilangan faktor yang menyumbang kepada kurangnya pemilikan polisi insurans dan sijil takaful dalam kalangan rakyat Malaysia," kata Ahmad Badri lagi.

Malah, pemain industri tempatan juga perlu memperluaskan pendekatan program insurans dan takaful, terutamanya untuk golongan B40 bagi memastikan ia lebih memenuhi keperluan perlindungan mereka, kata Ahmad Badri.