KUALA LUMPUR: Nilai dividen yang tinggi boleh dilihat sebagai faktor penting bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah balik simpanan mereka.

Namun begitu, Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia hanyalah satu faktor dan bukan 'keajaiban' bagi mengatasi isu pencarum yang terkesan akibat pengeluaran semasa musim pandemik.

"Kita kena faham yang dividen bergantung kepada situasi pelaburan tahun semasa. Untuk menambah simpanan mereka yang terjejas, sukar mahu capai satu penyelesaian yang komprehensif kerana terlalu banyak lost time akibat pengeluaran bukan konvensional semasa berhadapan dengan pandemik.

"Antara cara yang mungkin boleh dilaksanakan ialah mengehadkan pengeluaran dan menghentikan program skim pengeluaran, kerana ini akan jejaskan lagi keupayaan pencarum untuk kumpul balik simpanan," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Rabu.

Setakat Disember lepas, 2.6 juta pencarum KWSP dilaporkan mempunyai simpanan RM1,000 ke bawah, iaitu meningkat 86 peratus berbanding tempoh sebelum COVID-19.

Tambah Mohd Afzanizam, masalah itu tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata, sebaliknya akan memakan masa yang lama dan memerlukan kerjasama semua pihak.

"Paling perlu sekarang ialah usaha untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat. Bunyinya cliche tetapi ini perkara utama yang perlu ditekankan sebab ramai yang tak faham konsep pelaburan, contohnya 'compounding factor' atau faktor pengganda dan bagaimana ia akan beri kesan pada setiap pengeluaran.

"Perkara seperti ini kita kena beri pendidikan dan pencerahan supaya pencarum tahu dan faham pilihan yang mereka buat. Semua pihak kena ambil peranan ini untuk bekalkan pencarum dengan pengetahuan ini," jelasnya.

Tegasnya lagi, kerajaan khususnya perlu memikirkan bagaimana mahu mewujudkan aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah tinggi, yang sekali gus membantu meningkatkan keupayaan untuk pencarum mencari pendapatan lebih, baik dari segi gaji, pendapatan sampingan melalui perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

KWSP | 2.6 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan RM1,000 ke bawah