SUNGAI BULOH: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 2023 yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan shariah.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata, jumlah agihan bagi simpanan konvensional melibatkan RM50.33 bilion, manakala bagi simpanan shariah, RM7.48 bilion.

"Ini bermakna, keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM57.81 bilion," katanya pada taklimat prestasi kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini, hari ini.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan shariah.

Ia sekali gus menepati ramalan pakar ekonomi yang menjangkakan kadar dividen bagi 2023 akan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya berdasarkan prestasi dana pencen itu sepanjang tahun lalu.

Dividen paling tinggi pernah diberikan oleh KWSP adalah 8.5 peratus iaitu dari 1983 hingga 1987.

Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata kepelbagaian portfolio dan pengurusan dana yang aktif membolehkan KWSP untuk mengisytiharkan kadar dividen lebih baik untuk 2023.

"Agihan dividen RM57.81 bilion akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan informal," katanya.

Ahmad Zulqarnain memaklumkan, bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding 51.91 bilion pada 2022.

"Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan market-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen," jelasnya.

Sementara itu ujarnya,  RM58.97 bilion daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan dijana untuk simpanan konvensional, dan RM8.02 bilion untuk simpanan shariah.

Menurutnya, sehingga Disember 2023, aset pelaburan KWSP mencecah RM1,135.82 bilion, di mana 62 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

Katanya, bagi 2023, pelaburan domestik menjana RM31.71 bilion atau 47 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, yang memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.

"Pelaburan asing menjana RM35.28 bilion, atau 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang dicatatkan.

Prestasi 2023 KWSP melaporkan pertumbuhan positif dalam pendaftaran ahli, selaras dengan pasaran buruh negara yang semakin kukuh.

Sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 460,447, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.

Sementara itu, Pengerusinya Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi simpanan konvensional ialah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk simpanan Syariah pada asas tiga tahun (2021-2023).

Menurutnya, angka itu melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya 2 peratus dividen sebenar dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, mestipun berdepan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau, serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan.

“Alhamdulillah, KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada tahun 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan,” katanya.

Beliau menjelaskan, tahun 2023 menyaksikan prestasi bercampur-campur dalam pasaran ekuiti global, terutamanya antara ASEAN berbanding pasaran maju.

"Walaupun Indeks penanda aras ekuiti pasaran maju menyaksikan pertumbuhan positif kedua-dua indeks FBM KLCI dan ASEAN menyaksikan pertumbuhan negatif dengan FBM KLCI merosot sebanyak 2.7 peratus," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Badri berkata gandingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengurusan portfolio yang aktif membolehkan KWSP mencapai keputusan yang baik bagi 2023.

Beliau berkata, berhadapan dengan pasaran global yang mencabar, pendekatan pelaburan KWSP yang berdaya tahan dan fokus terhadap memberikan nilai jangka panjang seharusnya membolehkan ia terus memberikan prestasi yang kukuh di samping dapat mengekalkan komitmen kepada ahlinya.