KUALA LUMPUR:Kerajaan Kedah akan menyiasat dakwaan penerokaan hutan simpan seluas 12,141 hektar di kawasan Gunung Inas terletak antara Kulim dan Baling yang dikatakan akan menjadi ladang Musang King terbesar di dunia.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu merupakan isu lama yang diwarisi pentadbiran kerajaan terdahulu dan diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Katanya, selepas mengambil alih pentadbiran negeri pada Mei tahun lalu, beliau mengarahkan kerja-kerja menanam durian di Gunung Inas itu dihentikan apabila ia mengakibatkan banjir lumpur di kawasan lembah.

"Kerja-kerja pembersihan tanah itu juga disyaki menjejaskan sungai yang memanfaatkan 3,000 penduduk kampung.

“Saya telah mengarahkan agensi yang relevan untuk kembali dengan laporan status serta-merta,” katanya yang dipetik portal berita FreeMalaysiaToday pada Sabtu.

Terdahulu tular dalam media sosial hari ini satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat memaparkan seorang lelaki mendakwa bahawa kawasan Gunung Inas akan dijadikan 'dusun durian terbesar di dunia', dengan 500 anak pokok Musang King sudah ditanam.

Gunung Inas terletak di Tenggara Kedah, antara Utara Baling dan Selatan Kulim membabitkan sempadan Perak.

Muhammad Sanusi pada Julai lalu dilaporkan mengarahkan sebuah syarikat yang menanam pokok durian di lokasi berkenaan supaya menanam tanaman penutup bumi dan pokok balak selepas kawasan Kupang di Baling mengalami banjir lumpur dipercayai berpunca daripada bukit tersebut.

Sebelum ini, Simon Ooi Tze Min ketika menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Kedah pada Disember 2019 mendedahkan pemilik lokasi telah memperoleh kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) pada 2013, termasuk daripada Jabatan Perhutanan.

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman berkata, dusun durian tidak patut dibenarkan di kawasan hutan kerana akan menjejaskan keaslian hutan hujan.

“Negara sudah pun berdepan kontroversi berhubung kelapa sawit dan kemusnahan hutan, dan kini perlu berdepan pula isu durian.

“Hutan adalah kawasan tadahan karbon semulajadi dan kita perlu lakukan apa saja yang termampu untuk mengurangkan perubahan iklim dengan menghalang pembersihan hutan. Dakwaan dalam video itu mesti disiasat,” katanya.