KANGAR: Polis membuka satu lagi kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penemuan beberapa tulang dipercayai tulang manusia di dalam sebuah guni di kawasan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bersempadan dengan Bohor Mali, Mukim Kayang di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada jam 12.55 tengah hari selepas dimaklumkan oleh seorang lelaki yang menemui guni berkenaan ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan tersebut.
Menurutnya, saksi berusia 61 tahun itu sedang membersihkan semak samun di tanah milik anak perempuannya yang baru dibeli kira-kira dua bulan lalu sebelum menemui beberapa tulang yang terkeluar daripada sebuah guni putih lusuh dan koyak.
"Penemuan itu berada di atas tanah yang sebahagiannya tertimbus serta ditutupi semak samun di kawasan tanah rizab MADA yang bersempadan dengan tanah milik anaknya.
"Saksi kemudian segera menghubungi Balai Polis Simpang Empat untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 26 Julai lalu, media melaporkan satu rangka disyaki tulang manusia ditemukan dalam sekarung guni di sebuah kebun berhadapan sebuah kilang beras di Kampung Behor Mali.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi oleh pasukan polis dan Unit Forubatan Forensik menemui beberapa tulang, sehelai seluar dalam jenis boxer, sehelai seluar pendek serta seutas tali pinggang di dalam guni berwarna putih yang telah reput dan terburai.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, semua barangan berkenaan dipercayai telah lama berada di lokasi tersebut.
"Hasil ukuran pihak forensik mendapati lokasi penemuan terbaharu itu hanya kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan tulang sebelum ini yang dilaporkan pada 26 Julai lalu.
"Susulan itu, kedua-dua kes kini diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Yusharifuddin berkata, semua barang kes telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi menjalankan analisis patologi.
Menurutnya, laporan awal analisis dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu bagi membantu mengenal pasti identiti tulang serta punca kejadian.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Tengku Moh Farid Tengku Ibrahim di talian 019-9939200 bagi membantu siasatan.
Beliau turut menegaskan siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak sebarang kemungkinan sementara menunggu keputusan analisis forensik. - Sinar Harian