Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: 28 keluarga layak terima faedah PERKESO

Ramanan ketika berucap pada majlis penyerahan faedah di Menara PERKESO, Ampang. - Gambar PERKESO.
Ramanan ketika berucap pada majlis penyerahan faedah di Menara PERKESO, Ampang. - Gambar PERKESO.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 keluarga mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di sempadan Nepal–Tibet pada 26 Ogos lalu layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, semakan terhadap rekod caruman 54 mangsa mendapati 28 daripadanya memenuhi syarat, dengan jumlah keseluruhan faedah kepada waris mereka sebanyak RM174,000.

“Waris keluarga akan menerima bayaran faedah berjumlah RM3,000 sebagai bantuan kewangan segera. Mereka juga layak mendapat faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan.

Advertisement

“Proses pembayaran akan dilaksanakan sebaik sahaja maklumat dan dokumen berkaitan dilengkapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara PERKESO, Ampang, pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Advertisement

Mengulas lanjut pada sidang media selepas majlis itu, Ramanan berkata, 16 keluarga hadir untuk menerima faedah berkenaan, manakala penyerahan kepada keluarga lain yang layak akan dibuat secara berperingkat.

Katanya, PERKESO akan meneruskan usaha mengesan waris dan melengkapkan maklumat mereka bagi memastikan tiada keluarga yang layak tercicir.

“Sehubungan itu, saya menyeru waris yang belum dihubungi supaya tampil ke pejabat PERKESO yang berhampiran,” tambahnya.

Image
PERKESO BANJIR NEPAL INSERT
Waris mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal bergambar bersama Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan pada majlis penyerahan faedah di Menara PERKESO, Ampang. - Gambar PERKESO

Bagi keluarga mangsa tanpa rekod caruman, Ramanan berkata, PERKESO akan membantu mereka mendapatkan bantuan lain yang bersesuaian.

“Bagi mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman PERKESO, jangan rasa anda dilupakan. Kami tetap prihatin dan mengambil berat tentang nasib keluarga anda.

“Melalui Program Social Synergy, PERKESO akan membantu menghubungkan keluarga yang terjejas dengan 990 rakan strategik, termasuk 130 agensi di seluruh negara, bagi mengenal pasti bantuan lain yang bersesuaian untuk membantu meringankan beban mereka,” jelasnya.

Ramanan turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyelaras bantuan kerajaan kepada mangsa susulan mesyuarat Jemaah Menteri.

Must Watch Video

Advertisement