Video pertama berdurasi 1 minit, 46 saat itu dipercayai dirakam menerusi telefon bimbit, bermula dengan dua pelajar perempuan yang berdiri menghadap antara satu sama lain dan seakan-akan sedar bahawa video mereka sedang dirakamkan.
Sejurus selepas itu, kedua-dua mereka mula bertumbuk, memukul dan berguling di tanah sambil menarik rambut dan menendang satu sama lain.
Walaupun pergaduhan itu berlaku lebih seminit, tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar yang melihat dan merakam perkara itu.
Malah, ada suara latar yang memberi semangat kepada pelajar yang bergaduh itu dengan jeritan ‘tumbuk, tumbuk, tumbuk.’
Hanya di saat-saat terakhir video itu, beberapa pelajar cuba meleraikan pergaduhan itu dengan berkata ‘cukup, cukup.’
Sekolah pelajar-pelajar tersebut tidak dapat dikenal pasti.
Video itu telah menerima kritikan hebat dari pengguna Facebook, di mana kebanyakan mereka berkata tindakan itu memalukan umat Islam di negara ini dan memalukan ibu-bapa mereka.
Ada juga yang memberi cadangan kedua pelajar itu memasuki pertandingan Mixed Martial Arts (MMA) dan World Wrestling Entertaiment (WWE).
Video kedua pula berdurasi 58 saat bermula dengan dua pelajar perempuan bertumbuk dan menarik rambut sambil kedengaran perkataan seperti "Aku benci engkau" dan "tadi kata hebat sangat nak gaduh."
Beberapa saat kemudian, muncul dua lagi pelajar perempuan yang mula memukul mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat. Mereka meneruskan bergaduhan sebelum mangsa ditumbuk dan ditendang di bahagian muka.
Sumber: YouTube
Pergaduhan diperhatikan oleh pelajar-pelajar lelaki dan perempuan yang kelihatan seperti berada sebuah lorong di kawasan perumahan.
Pada Isnin, video pergaduhan pelajar yang menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dengan kejam oleh sekumpulan pelajar perempuan lain turut muncul dan mendapat kritikan di media sosial.
Video itu bermula dengan sekumpulan kira-kira 10 pelajar perempuan sedang lepak berdekatan tangga, mengambil gambar 'selfie' dan menunjukkan isyarat 'peace' di kamera.
Kumpulan itu sebaliknya mula menyerang mangsa yang dilihat berdiri di antara kumpulan tersebut.
Kumpulan pelajar terbabit melakukan serangan dengan mengoyakkan tudung mangsa, mengheret, menendang dan menarik rambut mangsa, sehingga dia bertindak mengangkat tangan untuk melindungi mukanya.
Laporan polis telah dibuat terhadap video itu dan siasatan sedang dijalankan.