Jika hendak digambarkan perasaan saya sebagai wartawan yang ditugaskan ke lapangan membuat liputan Ops Daulat dan laporan berkaitan mengenai pencerobohan ke atas kedaulatan negara di Sabah, rasanya ia mungkin lebih indah daripada menatap potret klasik Monalisa.

Biarpun operasi itu masuk minggu yang ketiga, peluang ke lapangan dan membuat liputan krisis adalah antara tugasan yang cukup menarik dan akan jadi kenangan manis sepanjang kerjaya.

Ini bukan kali pertama saya ke Lahad Datu namun kehadiran kali ini berbeza daripada sebelumnya. Ini musim krisis dan banyak kemungkinan situasi yang bermain di fikiran saya.

Walaupun keadaan dikatakan hampir aman sepenuhnya dan saki-baki pengganas khabarnya sudah kebuluran di dalam hutan, saya masih teruja untuk menerokai suasana di sini.

Mungkin kedatangan saya ini agak terlambat tetapi rasanya biarlah tugasan ini jadi catatan penutup kepada episod pencerobohan ke atas kedaulatan negara yang mencalar maruah kemerdekaan kita.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai hak pemilikan Sabah yang tidak akan tergugat menjadikan penulis cukup bangga. Ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara pada Selasa, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa negeri Sabah selama-lamanya adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Rakyat Sabah adalah warganegara Malaysia, katanya, dan kerajaan akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan negara daripada sebarang pencerobohan.

"Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini," katanya.

Sampai di Lapangan Terbang Lahad Datu dan terus mengambil teksi, soalan pertama yang saya tanyakan kepada pemandunya: Apakah ketakutan masyarakat di sini masih ada terhadap isu yang berlaku?

Syukur, jawapan 'tidak' yang keluar dari mulut pemandu teksi itu saya rasakan begitu ikhlas. Ia menambah keyakinan saya bahawa jawapannya itu jujur kerana itulah topik yang dia bincangkan berulang-ulang dengan sesiapa juga menaiki teksinya setiap hari.

Saya terus mencari penginapan di pekan Lahad Datu selepas memutuskan hanya akan ke Felda Sahabat, lokasi tumpuan maklumat. Tetapi tidak sah rasanya
jika tidak mencari 'Nasi Kuning' — rupanya macam nasi lemak tetapi warnanya kuning dan berlaukkan ayam dan ikan sambal.

Menurut seorang sahabat yang menetap di sini, itu makanan 'trademark' di Lahad Datu. Harga makanan secara peribadi tidaklah jauh beza dengan di Kuala Lumpur. Ertinya, ada kenaikan harga; mungkin kesan pertambahan 'pelawat' ke bandar kecil ini. Nasi ayam kalau sebelum krisis katanya berharga RM3.50 sepinggan tetapi sekarang RM4. Jus oren pun naik 50 sen jadi RM3.

Menanti malam di Lahad Datu, kenderaan agak sesak di jalan raya. Kehidupan berjalan seolah-olah tiada apa-apa yang luar biasa. Tetapi malam di sini, seperti banyak pekan kecil lain atau kata orang, pekan koboi, 'mati' awal dan tidak banyak aktiviti sosial.

Saya menghubungi rakan-rakan media yang masih berkampung di kawasan sekitar untuk memaklumkan kehadiran atau istilahnya, 'lapor diri' agar sentiasa dimaklumkan jika ada perkembangan terkini.

Jujur saja, saya tidak sabar menunggu fajar Sabtu. Menurut sumber, operasi pembersihan saki-baki pengganas dijangka selesai pada hari itu dan petugas media mungkin akan dibenarkan masuk ke zon merah.

Ia sekali gus bakal merungkai sedikit sebanyak 1001 kisah rahsia di sebalik kawasan larangan yang selama lebih dua minggu lalu jadi wilayah hakiki tentera sejak bermulanya krisis pencerobohan ini.

Apakah itu tanda berakhir kemelut Lahad Datu? Jika jawapannya 'ya', masanya hanya 48 jam sahaja lagi.