Laksana pelan tindakan serta-merta, penghormatan terbaik buat mendiang Shing Xuen - Exco Selangor

Pelaksanaan pelan tindakan ini secara serta-merta disifatkan sebagai penghormatan terbaik buat mendiang adik Shing Xuen dan mangsa lain agar tragedi seumpama ini tidak berulang. - Gambar/ Astro AWANI
INSIDEN tragis yang menimpa mendiang adik Shing Xuen, seorang pelajar di kawasan Bandar Utama, benar-benar meruntun hati rakyat Malaysia. Fokus kes ini bukan sahaja tentang kehilangan nyawa seorang pelajar berpotensi, malah turut menimbulkan persoalan besar tentang kegagalan kolektif kita mencegah penderaan kejam yang dialami mendiang.
Ringkasan AI
- Insiden tragis yang meragut nyawa pelajar Shing Xuen di Bandar Utama mencetuskan gesaan agar pelan tindakan keselamatan murid dilaksanakan serta-merta, termasuk penempatan polis di sekolah, pemeriksaan mengejut dan menaikkan had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun.
- EXCO Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin menyokong cadangan Kerajaan Persekutuan dan mencadangkan sistem pendaftaran media sosial diperketat dengan dokumen rasmi dan kod OTP, bagi membendung jenayah serta isu kesihatan mental dalam kalangan remaja.
- Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka modul Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang merangkumi pencegahan buli dan intervensi awal kesihatan mental, dengan harapan agar semua cadangan dilaksana segera sebagai penghormatan kepada mendiang dan mangsa lain.
- Penempatan anggota polis di sekolah seluruh negara
- Pemeriksaan mengejut secara rawak di sekolah
- Menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun
Saya menyambut baik cadangan ini kerana ia bersifat drastik dan perlu dilaksanakan segera. Jika kita masih mahu memulakan dengan kajian atau dasar baharu, ia mungkin menimbulkan kegusaran kerana langkah segera amat diperlukan.
Sebagai EXCO Kesihatan Awam, saya tertarik dengan cadangan menaikkan umur pengguna media sosial kepada 16 tahun dan menguatkuasakannya melalui pendaftaran rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID. Saya juga mencadangkan agar sistem ini diperkukuh dengan ciri keselamatan tambahan seperti penggunaan kod OTP.
Larangan penggunaan media sosial kepada remaja bawah 16 tahun kini amat penting kerana kandungan tidak sesuai di platform tersebut sering mendorong kepada buli, keganasan dan isu kesihatan mental. Negara seperti Australia telah meluluskan undang-undang mengehadkan akses media sosial kepada individu bawah 16 tahun, manakala Singapura turut mempertimbangkan langkah serupa.
Kerajaan Negeri Selangor kini sedang merangka modul Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang merangkumi elemen pencegahan buli, pendidikan emosi dan intervensi awal kesihatan mental khusus untuk murid sekolah. Saya berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat memperkukuh usaha ini.
Apa yang penting kini ialah memastikan semua cadangan ini dilaksanakan dengan berkesan. Sebarang maklum balas harus bersifat konstruktif dan membina, bukan sekadar menyalahkan pihak tertentu. Kita semua bertanggungjawab membina persekitaran pembelajaran yang selamat dan menyokong perkembangan mental serta emosi murid.
Akhirnya, pelaksanaan pelan tindakan ini secara serta-merta adalah penghormatan terbaik buat mendiang adik Shing Xuen dan mangsa lain agar tragedi seumpama ini tidak berulang.
PUAN JAMALIAH JAMALUDDIN
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami