KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan agar orang ramai melakukan ujian saringan COVID-19 dengan lebih kerap apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan kelak.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu penting terutamanya mereka yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi.

Nasihat itu diberikan ketika kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa negara hanya tinggal 1.6 peratus sebelum mencapai 90 peratus yang membolehkan larangan rentas negeri dimansuhkan.

Pada Rabu, jumlah vaksinasi lengkap populasi dewasa mencecah 88.4 peratus atau 20,819,254 manakala 73.8 peratus atau 24,085,144 mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

BACA: Vaksin COVID-19: Lagi 1.6% untuk capai 90% penduduk dewasa lengkap suntikan

"1.6 peratus sebelum sempadan negeri dibuka, ketika KKM melakukan ujian saringan untuk kes simptomatik, kami menasihatkan orang yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala.

"Sekiranya anda ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa, lakukan ujian air liur RTK Antigen. Jaga keselamatan mereka," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, ketika negara beralih ke fasa endemik COVID-19, tanggungjawab bergantung kebanyakannya kepada orang ramai.

"Ketika kita beralih ke fasa endemik, kita tidak boleh mengatur sekatan jalan raya untuk melihat sama ada anda telah divaksinasi atau melakukan ujian saringan.

"Kini ia banyak bergantung kepada tanggunjawab dan tingkah laku peribadi, saya percaya kita dapat menghadapi cabaran dalam pembukaan dengan selamat," jelasnya.