KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Laluan Khas Kemasukan Pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) melalui UPUOnline.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Parlimen, di sini pada Khamis

Mohamed Khaled berkata Laluan Khas Kemasukan Pelajar itu melibatkan empat kumpulan sasaran iaitu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan atlet.

"Sejajar dengan hasrat perluasan akses pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi sedia menimbang cadangan Laluan Khas Kemasukan Pelajar sedia ada kepada calon Lepasan Institusi Kebajikan Sekolah Tunas Bakti, Asrama Akhlak dan Taman Seri Puteri Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata laluan itu merupakan kemasukan melalui kaedah khas dan calon tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pengajian masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata calon masih perlu memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas program pengajian yang dipilih dan akan disaring dalam kumpulan mereka sendiri.

Selain itu, beliau berharap inisiatif itu memberi manfaat kepada kumpulan sasaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang bakti ke arah pembangunan Malaysia MADANI.

-- BERNAMA