Penutupan laluan masuk ke stesen LRT Ampang yang bermula sejak 15 Mac lepas akan dipanjangkan sehingga 30 Ogos ini.

Ia bagi membolehkan kerja-kerja infrastruktur pembinaan kompleks parkir bertingkat disiapkan.

Mengikut jadual awal, laluan berkenaan akan dibuka semula pada Ahad.

Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Prasarana, Lim Jin Aun dalam satu kenyataan memberitahu, penutupan tersebut dilanjutkan demi keselamatan orang ramai yang menggunakan stesen lrt ampang setiap hari.

"Penutupan ini dilanjutkan demi keselamatan orang ramai yang menggunakan stesen LRT Ampang setiap hari," kata beliau.

Dengan penutupan itu, semua kenderaan persendirian tidak akan dibenarkan masuk ke stesen LRT.

Sehubungan itu, mereka yang memandu diminta untuk mencari tempat letak kereta alternatif di kawasan sekitar stesen.

Untuk itu, Prasarana memohon maaf atas sebarang kesulitan dihadapi pengguna.

Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Ampang yang mula dibina pada Februari 2012, akan menyediakan kemudahan 1,140 petak letak kereta, 160 petak letak motosikal, kiosk dan satu blok bangunan pejabat pentadbiran LRT Ampang.

Dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini, kompleks tersebut merupakan kompleks parkir bertingkat kedua yang dibina oleh Prasarana selepas Kompleks Parkir Bertingkat LRT Gombak, yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha pada 1 Mac lepas.

Projek pembinaan kompleks ini dikendalikan sepenuhnya oleh Prasarana Integrated Management & Engineering Services Sdn Bhd (PRIME), yang merupakan salah satu daripada unit bisnes strategik yang ditubuhkan awal tahun ini.