MALAYSIA
Laluan Melor-Ketereh ke Kampung Pak Badol siap dinaik taraf - Nanta

Nanta ketika hadir pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan FT003 Persimpangan Melor-Ketereh Kampung Pak Badol (KM19.75-Km2305) hari ini. - Gambar Bernama
BACHOK: Projek menaik taraf laluan dari persimpangan Melor-Ketereh ke Kampung Pak Badol di sini telah siap dinaik taraf, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata projek sepanjang 3.3 kilometer (km) itu siap sepenuhnya pada 28 Jun lepas setelah dimulakan pada 3 Nov 2020, dengan kos keseluruhan RM195 juta.
"Projek menaik taraf laluan ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, dalam usaha memperkukuhkan jaringan jalan Persekutuan di seluruh negara, khususnya di wilayah Pantai Timur," katanya selepas majlis penyerahan projek menaik taraf laluan berkenaan di sini hari ini.
Nanta berkata dengan peruntukan keseluruhan RM195 juta, projek itu dilaksanakan melalui kaedah konvensional dalaman oleh JKR dan menepati jadual serta piawaian kejuruteraan yang ditetapkan, sekali gus melengkapkan perhubungan kepada laluan dari Kota Bharu ke Pekan Melor, yang sebelum ini dinaik taraf kepada jalan berkembar empat lorong berpiawaian R5."Laluan ini adalah nadi penting kepada sistem pengangkutan darat yang menghubungkan kawasan-kawasan utama di Kelantan dan Terengganu.
"Ia dijangka dapat menyuraikan kesesakan lalu lintas di daerah ini, di samping menjadi pemboleh daya dalam meningkatkan keterhubungan wilayah, mempercepatkan urusan harian rakyat, menggalakkan aktiviti sosial dan berupaya melonjakkan sektor ekonomi setempat," katanya.
Nanta berkata laluan itu juga akan disambung lagi sejauh enam kilometer sehingga ke Pasir Puteh melibatkan kos RM169 juta dalam masa terdekat.
Beliau berkata jalan raya bukan sekadar laluan fizikal, ia adalah simbol kemajuan, penghubung antara komuniti dan pemangkin kepada kelestarian pembangunan wilayah.
"Inilah yang dimaksudkan dengan prinsip MADANI, membina infrastruktur yang bukan hanya berfungsi tetapi turut memanfaatkan kehidupan rakyat, merapatkan jurang pembangunan dan mencerminkan rasa tanggungjawab yang menyeluruh terhadap kesejahteraan dan perpaduan rakyat," katanya.
"Kementerian saya sentiasa menaruh tekad dan komitmen yang tinggi dalam menyediakan infrastruktur awam yang selamat, berkualiti tinggi, berdaya tahan dan inklusif," katanya
Sementara itu, Nanta turut menafikan dakwaan bahawa penunggang motosikal akan dikenakan bayaran tol bermula Oktober ini.
"Janganlah buat fitnah perkara sedemikian kerana ia boleh menimbulkan kesan dalam kalangan rakyat kita. Kita tidak pernah mencadangkan perkara itu dan berita yang dilaporkan di media sosial itu juga salah," katanya.
Semalam tular satu berita mendakwa kerajaan akan mengenakan bayaran tol kepada penunggang motosikal bermula Oktober ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami