Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang terselamat daripada tindakan celaan dalam mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti pada Ahad, kini mungkin mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan nombor satu parti semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Dis 21.

Walaupun kejayaan itu memberikan beliau sokongan moral dan membawa keyakinan baru, orang kuat parti berkata tiada jaminan yang Liow akan dapat mengulangi kejayaan itu di AGM nanti.

"Dengan usul nombor satu ditolak tidak bermakna Liow Tiong Lai akan menerima sokongan 100 peratus bagi jawatan presiden. Saya rasa, bagi dua bulan akan datang, kedua-dua pihak perlu berusaha gigih dengan pihak Dr Chua perlu mencari 200 undi lagi," kata Anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA Datuk Paul Kong.

EGM pada Ahad itu memutuskan empat usul. Yang pertama adalah untuk mencela Liow atas alasan beliau enggan menerima keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa presiden dan kegagalan beliau sebagai pengerusi jawatan persediaan pilihan raya umum ke 13 untuk menemui akar umbi dan melawat bilik-bilik gerakan penting MCA menyebabkan parti itu mengalami prestasi buruk pada pilihan raya itu.

Tiga lagi usul itu adalah membatalkan resolusi parti menghalang anggota-anggotanya daripada memegang jawatan-jawatan dalam kabinet, kerajaan persekutuan dan negeri.

Usul pertama dan kedua ditolak oleh perwakilan semasa EGM itu.

PERWAKILAN MCA BERPENDIRIAN BEBAS

Kong menjelaskan bahawa perwakilan MCA berpendirian bebas dalam hal-hal berkenaan dengan parti. Dan ia pastinya bukan mudah bagi Dr Chua dan Liow untuk meraih sokongan semasa pemilihan parti.

"Apa pula nasib 20 anggota CC yang meminta EGM itu diadakan. Antara mereka adalah naib-presiden Gan Peng Shieu yang diwar-warkan akan mengambilaih jawatan presiden di pihak Dr Chua. Bagaimana beliau akan meraih sokongan sedangkan beliau adalah antara 20 orang anggota CC yang meminta EGM itu diadakan untuk mencela Liow tetapi ditolak pula oleh perwakilan," tanya Kong.

Beliau berkata tidak kira sama ada Dr Chua akan mempertahankan jawatan presiden atau di sebaliknya, ia pasti sukar bagi beliau dan para penyokongnya untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, seorang anggota parti berkata bahawa Dr Chua masih mempunyai kelebihan kerana dengan usul ketiga dan keempat yang diluluskan, beliau kini boleh menawarkan ganjaran kepada perwakilan yang menghulurkan sokongan kepada beliau dengan menawarkan jawatan-jawatan dalam kerajaan negeri, majlis-majlis tempatan dan GLC.

"Terdapat lebih kurang 10,000 jawatan di seluruh negara yang perlu diisi. Menjelang akhir bulan ini, nama-nama mereka perlu disaring dan kemukakan dan lantikan adalah pada Disember atau Januari depan," kata anggota parti itu.

Bagaimanapun, adalah masih tidak jelas sama ada Dr Chua akan mempertahankan jawatan presiden itu. Sekiranya beliau memutuskan untuk tidak bertanding, persoalannya siapakah pengganti beliau.

Anggota parti juga tidak menolak kemungkinan Dr Chua dan para penyokongnya dalam CC menghidupkan semula "percaturan" awal mereka letak jawatan serentak daripada CC.

Dengan berbuat demikian, ada antara penyokong Liow dalam CC tidak akan dilantik sebagai perwakilan dan dengan itu dilarang daripada bertanding.

Menurut peraturan parti, mana-mana anggota CC yang meletakkan jawatan sebelum penggal mereka berakhir pada Disember, mereka tidak layak bertanding selagi tidak dipilih sebagai perwakilan pusat.
Bagaimanapun, kemelut MCA akan berterusan dengan tumpuan kini adalah pada langkah seterusnya yang akan diambil oleh Dr Chua dan Liow.