Presiden Barack Obama yang tiba di Kuala Lumpur semalam akan meneruskan lawatannya dengan beberapa agenda yang telah disusun dalam jadual yang ketat sepanjang hari ini

Beliau memulakan agenda dengan menziarahi Masjid Negara (infografik) sebelum ke Putrajaya untuk rundingan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada sebelah petang, Obama akan menyampaikan ucapan kepada pemimpin muda ASEAN di Universiti Malaya dan bertemu dengan pemimpin NGO.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memenuhi jadualnya yang tertangguh sejak Oktober 2013 datang melawat Malaysia.

Pesawat Air Force One mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang lebih kurang pukul 4.50 petang Sabtu.

Menanti di Subang ialah kenderaan rasmi The Beast (video) yang membawa Obama ke bangunan Parlimen.

Lawatan ini disifatkan sangat bersejarah kerana inilah kali kedua Presiden Amerika Syarikat datang ke negara ini, yang pertama oleh Lyndon B Johnson pada 1966 hampir 50 tahun dulu.

Obama kemudian diberikan sambutan rasmi selamat datang di perkarangan bangunan Parlimen.

Acara sambutan dihadiri oleh menteri kabinet dan diplomat.

Selepas Negaraku dan The Star Spangled Banner berkumandang, Obama memeriksa perbarisan kehormatan 107 pegawai dan anggota batalion pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Pada sebelah malam, Obama diraikan dalam majlis jamuan negara di Istana Negara.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Obama menyentuh tentang kerjasama antara kedua-dua negara//
“Kita semua berkongsi aspirasi asas manusia: untuk hidup dengan bermaruah dan aman, membentuk masa depan, mencari rezeki dan bekerja keras membantu keluarga, dan yang paling penting, untuk meninggalkan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita warisi. Saya percaya aspirasi ini menyuluh era baru hubungan kerjasama antara Amerika Syarikat dan Malaysia.”

Beliau juga mengingatkan Malaysia untuk mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik rakyatnya untuk masa depan generasi akan datang yang lebih cerah.

Sementara itu, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam titahnya merakamkan terima kasih atas bantuan Amerika mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang.

Malaysia adalah negara ketiga dalam siri lawatan Obama selepas Jepun dan Korea Selatan

Selepas Malaysia, beliau akan meneruskan lawatan ke Filipina pada Isnin.