GEORGE TOWN: Polis  Pulau Pinang akan mengambil keterangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung dakwaan melanggar tempoh kuarantin kendiri selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri esok (10 September).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keterangan Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu bagi membantu siasatan susulan laporan polis dibuat beberapa pihak berhubung perkara berkenaan semalam.

Mohd Shuhaily berkata, selain Guan Eng, polis juga akan merekodkan keterangan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini, polis menerima tiga laporan yang dibuat berhubung dakwaan berkenaan dan sudah memulakan siasatan di bawah Kertas Enquiry Polis (KEP).

“Kita sudah merekodkan semua keterangan individu yang membuat laporan polis dan hari ini kita akan merekodkan keterangan Setiausaha DUN serta KKM.

“Polis akan memanggil Guan Eng untuk siasatan selepas beliau tamat kuarantin pada 10 September ini,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu, Pemuda Gerakan dan MCA Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September selepas beliau menghadiri sidang DUN negeri itu pada 2 September.

Ia selepas perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang itu, ditangguhkan kepada 22 September ini.

Penangguhan itu dibuat selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.