KUALA LUMPUR: "Langkah mayat saya dulu, biar saya uruskan (Pharmaniaga Bhd)."

Demikian kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila ada pihak yang cuba menggunakan pemimpin tertinggi negara untuk membeli syarikat pembekal ubat itu dengan harga yang murah.

Beliau memaklumkan, beliau terpaksa 'bertengkar' dalam Kabinet bagi mempertahankan syarikat itu daripada jatuh ke tangan pihak lain.

"Mindef (Kementerian Pertahanan) bagi berbilion-bilion (ringgit) untuk jalankan perniagaan, uruslah elok-elok. Bukan senang, sampai ada orang buat bidding (bidaan) melalui pemimpin tertinggi, nak beli syarikat kita murah-murah," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25) di sini pada Khamis.

'Langkah mayat saya sebelum beli Pharmaniaga'


Pharmaniaga sebelum ini pernah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berkahir 31 Disember 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya, dengan peruntukan RM552 juta untuk stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan.

Situasi itu mendorong  Pharmaniaga diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) bagi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR).

PN17 adalah singkatan kepada Nota Amalan 17/2005 merujuk kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan atau tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan Bursa Malaysia.

Perolehan syarikat itu merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan terdapat permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk membeli vaksin COVID-19.

Pada 14 Mac lalu, Pharmaniaga Bhd mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkarnain Md Eusope, melepaskan jawatannya.