Program Subsidi Upah (PSU) yang akan berakhir pada Disember 2020 wajar dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga Mac 2021 manakala jumlah subsidinya turut dinaikkan.

Ketika membuat cadangan itu, Dr Ong Kian Ming (DAP-Bangi) berkata daripada 1.361 juta syarikat yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat 30 Jun lepas, hanya 22.3 peratus atau 311,191 majikan berjaya memohon skim PSU dan mendapat manfaatnya.

"Sebagai contoh, saya telah mengkaji senarai beberapa persatuan hotel termasuk Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA).

"Bagi MAHO, 50 peratus ahlinya disenaraikan sebagai penerima PSU manakala MAH (21 peratus) dan MyBHA (25 peratus). Ini menunjukkan bahawa skim PSU tidak membantu sebahagian besar daripada industri yang menerima kesan buruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) yang dinamakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus (COVID19) 2020) dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua hari ini.

Mengikut laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-15 pada 4 Ogos 2020, sebanyak RM8.97 bilion telah dibayar kepada 2.6 juta pekerja dalam 311,191 majikan setakat 24 Julai 2020.

PSU merupakan bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan membabitkan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Program itu telah diperkenalkan pada 27 Mac lepas bagi membantu majikan yang terkesan akibat COVID-19 agar syarikat dapat terus beroperasi dan mengekalkan pekerja masing-masing.

-- BERNAMA