SHAH ALAM: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menyatakan kaedah pelantikan penjawat awam adalah telus berdasarkan merit dan kompetensi calon dan bukannya mengikut kuota untuk suatu kaum atau etnik tertentu.

SPA dalam kenyataan berkata, pihaknya memaklumkan bahawa tiada diskriminasi kaum dalam urusan pengambilan penjawat awam di bawah bidang kuasa SPA.

"SPA merujuk pandangan berhubung cadangan reformasi sektor perkhidmatan awam yang didominasi oleh kaum tertentu. SPA merupakan salah satu pihak berkuasa melantik bagi perkhidmatan awam.

"Selain SPA, pihak berkuasa melantik lain adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

"Kaedah pelantikan penjawat awam adalah telus berdasarkan merit dan kompetensi calon selain tiada penetapan sebarang kuota untuk suatu kaum atau etnik tertentu bagi pelantikan semua jawatan dalam perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Jumaat, Ramasamy menggesa Anwar untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Ini kerana, dakwa Ramasamy, hujah berkenaan digunakan Tun Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Ramasamy turut mendakwa terdapat juga diskriminasi kaum secara rahsia apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam.

Menurut kenyataan SPA itu, semua warganegara Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan secara terbuka dan adil.

"Calon yang berminat dan berkelayakan boleh memohon jawatan secara dalam talian melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9).

"Calon yang memenuhi syarat lantikan skim perkhidmatan bagi jawatan kosong akan dipanggil menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE)," ujarnya.

BACA: Ramasamy gesa Anwar pecahkan dominasi Melayu dalam sektor awam

Tambah kenyataan tersebut, calon yang melepasi PSEE akan melalui tapisan peringkat seterusnya seperti Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) atau Ujian Kecergasan dan Jasmani Kebangsaan (UKJK), Profession Assessment Centre (PAC) dan temu duga sebelum dilantik.

"Tapisan yang dilaksanakan oleh SPA dibuat oleh panel penilai bertauliah dan terlatih yang mahir menilai keupayaan fizikal, prestasi dan potensi setiap individu secara objektif," jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, SPA sentiasa menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi yang menguruskan hal ehwal masyarakat tertentu seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Inisiatif berterusan oleh SPA seperti Program Libat Urus, Hari Kerjaya, Hari Bertemu Pelanggan dan program outreach disasarkan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terhadap tata kelola pengambilan SPA.

"Selain memberi panduan serta menggalakkan masyarakat pelbagai kaum untuk menyertai perkhidmatan awam," katanya.

BACA: Gesaan pecah monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam tidak wakili PH atau DAP - Anwar

Tambah kenyataan itu, jalinan kerjasama dan program outreach berkenaan sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat tentang ketelusan proses pengambilan dan pemilihan calon berasaskan merit serta kompetensi.

Justeru, SPA sentiasa ke hadapan dalam melaksanakan reformasi pemilihan bakat terbaik di samping sistem permohonan pekerjaan sepanjang masa sentiasa dinaik taraf.

"Teknologi kecerdasan buatan diaplikasikan bagi mengurangkan intervensi manusia dalam mengenal pasti calon yang memenuhi syarat skim perkhidmatan dan keperluan ketua perkhidmatan.

"Selain itu, ujian psikometrik secara dalam talian dilaksanakan bagi mengukur kecenderungan, ciri-ciri personaliti, kesesuaian dan integriti calon dengan jawatan yang ditawarkan," jelasnya.

Perkhidmatan Awam | Ramasamy dakwa kenyataannya diputar belit


Menurut kenyataan itu lagi, temu duga secara maya juga telah dilaksanakan untuk memberi peluang kepada calon-calon menghadiri temu duga SPA walau di mana lokasi calon berkenaan berada.

"Sebelum calon diperakukan untuk dilantik, calon perlu melepasi tapisan integriti melalui sistem yang diintegrasikan dengan maklumat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Insolvensi Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam," jelasnya.

SPA turut mengalu-alukan sebarang pertanyaan dengan menghubungi Pusat Panggilan SPA di talian 03-8091 9000 dan saluran SISPAA SPA (https://spa.spab.gov.my) atau merujuk di Portal Rami SPA (www.spa.gov.my).