MALAYSIA
LAP salur subsidi, rebat hampir RM39 juta setahun - Saarani

Sultan Perak berkenan menyempurnakan perasmian Menara Air Perak di Basco Avenue @ Kepayang hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Kerajaan Perak melalui Lembaga Air Perak (LAP) memberikan subsidi dan rebat kepada pengguna hampir RM39 juta setahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata inisiatif itu termasuk 25 meter padu percuma untuk golongan miskin, 10 meter padu percuma untuk rumah ibadat dan institusi kebajikan serta rebat RM4 bagi 10 meter padu pertama setiap bulan untuk semua pengguna domestik.
"Angka ini melambangkan tekad LAP untuk memastikan keseimbangan antara kelestarian kewangan dan kesejahteraan, suatu amanah yang sentiasa dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab.
"Dengan dukungan dan limpah perkenan Tuanku juga, kejayaan projek Menara Air Perak ini menjadi simbol komitmen padu dan harapan baharu pusat tadbir urus yang lebih efisien, pemangkin pengurusan air yang mampan dan mercu tanda baharu kebanggaan negeri," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Menara Air Perak di Basco Avenue @ Kepayang di sini hari ini.Majlis perasmian itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Selain itu, Saarani berkata pelarasan tarif air telah berlaku di beberapa negeri bermula Ogos 2025, namun Perak mengekalkan kadar yang ditetapkan sejak Mei 2024 iaitu selepas pelarasan terakhir pada 2006.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keupayaan kewangan LAP.
"Kejayaan LAP dizahirkan melalui rekod sebagai pembayar zakat korporat tertinggi di negeri Perak dengan jumlah terkumpul melebihi RM86 juta sejak 2007. Atas rekod itu, LAP menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2023.
"Pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat turut dilaksanakan, termasuk program bantuan pendidikan dan kebajikan masyarakat, sebagai tanda keprihatinan kepada rakyat yang memerlukan," katanya.
Saarani berkata dengan rekod kejayaan itu, LAP terus mendukung aspirasi pembangunan negeri secara menyeluruh, seiring dengan pelan Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.
Beliau berkata LAP juga sedang menaik taraf beberapa Loji Rawatan Air seperti di Teluk Kepayang, Kampung Gajah dan Sungai Geliting bagi menyokong keperluan beberapa projek utama antaranya Bandar Perindustrian Ma-ritim Lumut (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami