MALAYSIA
Lapan individu dilantik anggotai jawatankuasa bebas semak laporan insiden letupan saluran gas Putra Heights

Mohd Najwan (tengah) bersama Ahli Jawatankuasa Bebas Insiden Kebakaran Letupan Paip Gas Putra Heights yang dilantik ketika sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. -- fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Seramai lapan individu dilantik menganggotai Jawatankuasa Bebas bagi menyemak laporan siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, yang dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Khamarrul Azahari Razak.
Ringkasan AI
- Lapan individu dilantik dalam Jawatankuasa Bebas untuk menyemak laporan insiden letupan paip gas di Putra Heights, diketuai oleh Dr Khamarrul Azahari Razak dari UTM.
- Jawatankuasa diberi tempoh dua bulan untuk siasat punca kejadian, tahap pematuhan SOP dan cadangkan langkah penambahbaikan keselamatan.
- Kerajaan negeri komited memastikan siasatan telus dan menyeluruh, menjadikan Pulau Pinang sebagai model keselamatan pelancongan nasional.
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Naib Presiden Pertubuhan Perancangan Malaysia TPr Abdul Hamid Akub; Ahli Geofizik Kanan UGEO Solutions Sdn Bhd, Juzaili Azmi; serta Pengurus Tugas Khas, Pejabat Pengarah Eksekutif, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Shahronizam Noordin.
Mohd Najwan yang juga Exco Pengurusan Bencana Negeri berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan dalam menangani insiden melibatkan infrastruktur kritikal.
Beliau berkata Jawatankuasa Bebas itu yang terdiri daripada pakar teknikal, ahli akademik dan profesional industri berkaitan, diberi tempoh maksimum dua bulan untuk menjalankan siasatan sebelum membentangkan laporan lengkap kepada kerajaan negeri.
"Antara objektif utama jawatankuasa ini ialah menyiasat punca sebenar insiden kebakaran dan letupan paip gas di lokasi kejadian, menilai tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkaitan serta mengesyorkan langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
"Kerajaan negeri akan memudahkan keperluan jawatankuasa ini dari segi akses mendapatkan maklumat agar mereka dapat menjalankan siasatan secara bebas dan telus, sekali gus menghentikan sebarang spekulasi atau tuduhan berhubung punca kejadian," katanya pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada ahli jawatankuasa itu, di sini, hari ini.
Mohd Najwan berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden kebakaran dan letupan paip gas yang berlaku pada 1 April lalu, dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, bebas dan telus demi menjamin keselamatan serta kebajikan rakyat.
Pada 19 Sept lalu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata panel bebas yang telah diluluskan MMKN itu mempunyai kelayakan ikhtisas dalam pelbagai bidang berkaitan seperti cerun, bukit, minyak dan gas itu, yang antara lain akan bertindak menyemak serta menilai laporan teknikal yang dikeluarkan pihak polis, bomba serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami