Skip to main content

Malaysia

Lapan kawasan catat bacaan IPU tidak sihat 9 pagi ini

Sumber: BERNAMA
Di Semenanjung Malaysia, Putrajaya mencatatkan bacaan IPU pada 114. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan kawasan di seluruh negara merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini, merangkumi enam di Sarawak dan dua di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sarikei di Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 161.

Turut mencatatkan bacaan tidak sihat di Sarawak ialah Bintulu dan Sri Aman masing-masing dengan bacaan 157, disusuli Samalaju (153), Sibu (151) serta Miri (130).

Di Semenanjung pula, Putrajaya mencatatkan bacaan 114, manakala satu lagi kawasan turut berada pada tahap tidak sihat (melebihi 100), iaitu Cheras (102).

Sementara itu, sebanyak 51 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana (51-100) dan empat kawasan pula mencatatkan tahap kualiti udara baik (bawah 50).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300, berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement