GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan asing bersama lapan kru Indonesia yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di Pulau Kendi pada Isnin.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata APMM yang sedang menjalankan rondaan telah menahan bot terbabit masing-masing di kedudukan 28 dan 30 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada 10.13 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Indonesia bersama hasil perikanan sebanyak 400 kilogram (kg) melibatkan pelbagai jenis ikan.

"Manakala bot kedua juga dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong dan hasil tangkapan ikan dianggarkan sebanyak 100 kg. Kesemua lapan lelaki berusia 13 hingga 20 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit yang sah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.

-- BERNAMA