Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan lapan pemandu bas ekspres yang disyaki positif dadah dalam operasi khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina sejak 3 Feb lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Solah Mat Hassan berkata operasi yang berakhir esok itu melibatkan 32 terminal bas di seluruh negara dan pemandu diperiksa sebelum mereka memulakan perjalanan.

"Kes pemandu terbabit diserahkan kepada pihak pengurusan bas masing-masing dan polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Parlimen Pengkalan Chepa yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Hashim Abdullah.

Operasi itu turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasa lain termasuk polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Kesihatan.

Solah berkata dalam operasi itu, sejumlah 19,194 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Mengulas program SKSJ, beliau berkata setakat ini, seramai 50,225 orang di seluruh negara memperoleh lesen motosikal kelas B2 sejak ia diperkenal pada 2009.