MALAYSIA
Lapan tapak pembangunan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi dikenal pasti - Dr Zaliha

Dr Zaliha berkata inisiatif pembangunan di tanah milik DBKL itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengenal pasti lapan tapak tanah bagi pembangunan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) dalam usaha memastikan golongan B40 terus memiliki akses kepada kediaman yang selamat, berdaya huni dan inklusif di ibu negara.
Ringkasan AI
- Jabatan Wilayah Persekutuan mengenal pasti lapan tapak tanah milik DBKL untuk pembangunan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) secara berfasa, dengan keutamaan kepada kawasan berpermintaan tinggi bagi memastikan akses kediaman selamat dan inklusif kepada golongan B40.
- Di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), PASS diperkenalkan untuk menyokong golongan rentan seperti warga emas dan ibu tunggal, termasuk strategi pembangunan Zon Kediaman R4 dan insentif kepada pemaju swasta yang menyediakan komponen Rumah Mampu Milik (RMM).
- Kerajaan turut melaksanakan pendekatan rentas agensi dan kerjasama dengan institusi kewangan bagi membantu golongan asnaf dan warga tua memiliki rumah melalui konsep sewa beli (RTO) dan pinjaman antara generasi, selain program lain seperti Residensi MADANI, PR1MA, PPAM dan SASaR.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan yang ingin tahu perancangan kerajaan memastikan golongan rentan di ibu negara tetap mempunyai akses kepada kediaman selamat.
Di bawah inisiatif Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), Dr Zaliha berkata PASS diperkenalkan sebagai langkah menyokong golongan seperti warga emas, ibu tunggal dan individu yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah di Kuala Lumpur.
Beliau berkata PTKL2040 menetapkan pelbagai strategi termasuk mewujudkan Zon Kediaman R4 seluas 353.53 hektar khusus untuk pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam, serta insentif nisbah plot kepada pemaju swasta yang menyediakan komponen Rumah Mampu Milik (RMM) dalam projek bercampur.
"Kerajaan juga menekankan bahawa pembangunan RMM tidak boleh hanya tertumpu kepada kuantiti semata-mata, tetapi perlu disepadukan dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, ruang hijau dan pengangkutan awam agar persekitaran hidup lebih berkualiti," katanya.
Dr Zaliha berkata kerajaan melaksanakan pendekatan kerjasama rentas agensi termasuk dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu golongan asnaf memiliki rumah melalui konsep sewa beli (RTO).
"Kerajaan juga bekerjasama dengan institusi kewangan yang menawarkan pinjaman antara generasi, membolehkan anak-anak membuat pinjaman bagi pihak ibu bapa yang sudah berusia dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan biasa," katanya.
Selain PASS, program lain seperti Residensi MADANI, PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) turut digerakkan sebagai sebahagian daripada pelan menyeluruh untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya inklusif, mampan dan berdaya saing menjelang 2040.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami