KUALA LUMPUR: Malaysia Corruption Watch (MCW) berkata, menjadi tanggungjawab mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada masa sama, menurut badan bukan kerajaan memerangi rasuah itu, SPRM juga boleh bertindak pro-aktif mengambil butiran atau maklumat berkaitan, secara berjumpa terus dengan individu berkenaan.

Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata dalam satu kenyataan hari ini, tanggungjawab untuk segera membuat laporan adalah berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

"Apabila (Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk) Wan Saiful (Wan Jan) menyebut di Dewan Rakyat mengenai dakwaan rasuah ditawar kepada beliau, maka sebenarnya menjadi tanggungjawab beliau sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM.

"Seksyen 25 (1) berkaitan kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan, jelas menyatakan mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran tersebut kepada pegawai suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.

"Sepertimana di dalam peruntukan akta itu, iaitu di bawah Seksyen 7 (a), pegawai-pegawai suruhanjaya mempunyai fungsi menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan rasuah dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh ketua pesuruhjaya," katanya.

Jais mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa SPRM tidak perlu terlibat dengan pendedahan yang dibuat Wan Saiful bulan lalu membabitkan tawaran habuan.

Hamzah berkata pada Sabtu, semua Ahli Parlimen termaktub dalam Akta Kuasa dan Keistimewaan Ahli Parlimen 1952 yang menetapkan bahawa mereka mempunyai hak serta imuniti di Dewan Rakyat.

“SPRM kena faham, kita ada Akta 345, ikut Akta Ahli Parlimen. Jadi, SPRM tidak boleh masuk campur.

“Dia (Wan Saiful) nak kata seminggu atau dua minggu, dia nak buat laporan (kepada SPRM), itu (terpulang) bila-bila masa dan sampai masa, dia buatlah laporan,” katanya.

Terdahulu, pada 4 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilapor memberi tempoh seminggu kepada Wan Saiful untuk tampil membuat laporan berhubung pendedahan bahawa beberapa individu menawarkan ganjaran kepadanya jika menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

Jais menjelaskan, keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan imuniti Parlimen yang digariskan Perlembagaan Persekutuan "sebenarnya adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah."

Katanya, Azam hanya memberi kenyataan meminta Wan Saiful membuat aduan atau laporan kepada SPRM sekiranya benar dia ditawarkan rasuah. 

"Kenyataan ini tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah, maka ia tidak termasuk dalam keistimewaan Ahli Parlimen mendapat perlindungan imuniti Parlimen," tambah Jais. 

Katanya, MCW berharap ahli politik tidak memanipulasi fakta dan undang-undang untuk mengaburi mata rakyat seterusnya mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi dan peranan agensi penguat kuasa.