KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) hari ini telah bersetuju agar Laporan Audit Forensik projek kapal tempur pesisir (LCS) dinyahklasifikasikan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Audit BHIC, Dr Salihin Abang, tindakan itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 17 Ogos lepas.

“Lembaga Pengarah BHIC hari ini telah bersetuju dan seterusnya membuat ketetapan agar dinyahklasifikasikan laporan tersebut untuk diakses oleh pihak awam.

“Laporan boleh didapati di laman web rasmi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” jelas kenyataan Dr Salihin yang dikongsikan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Isnin.

Dr Salihin berkata, laporan yang dikemukakan di laman web rasmi Parlimen itu hanya mengenai audit forensik LCS sahaja, kerana perkara lain merupakan laporan audit forensik dalaman syarikat yang turut merangkumi maklumat dalaman BHIC yang lain.



BACA: Skandal LCS: 'Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya' - Dr Latiff 

Sebelum ini, Hishammuddin telah mengarahkan BHIC untuk menyahklasifikasi laporan audit forensik berkenaan kelewatan projek LCS.

Laporan itu dilaporkan akan memberi penerangan tentang dalang di sebalik rasuah dan penyelewengan yang melanda syarikat itu.

Rabu lalu, Jemaah Menteri mendedahkan laporan siasatan projek itu oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Mesyuarat Jemaah Menteri juga turut mencadangkan supaya laporan mengenai projek bermasalah bernilai RM9 bilion itu, yang mengalami kelewatan bertahun-tahun itu dinyahklasifikasikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan antara komitmen dan jaminan kerajaan tentang siasatan telus, tanpa melindungi sesiapa pun.