PUTRAJAYA: Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 1/2024.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam hantaran Facebook, laporan itu diserahkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengenai mesyuarat berkenaan, JPA memaklumkan fokus utama ialah terhadap pelbagai inisiatif yang dapat menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Okt lepas dilaporkan mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025.

Sehubungan itu, kajian berhubung SSPA akan dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Kajian SSPA yang turut menumpukan kepada aspek kenaikan gaji dan elaun sektor awam itu dijangka mengambil masa hampir dua tahun dan merupakan inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia MADANI.

-- BERNAMA