Kerajaan bersama negara-negara di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan memperbetulkan laporan tidak tepat Barat yang mengaitkan Islam dengan ekstrismism.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia perlu diperbetulkan memandangkan Islam menekankan kepada keamanan dan toleransi antara semua agama serta budaya.

"Penglibatan Malaysia dalam semua mesyuarat-mesyuarat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (Isesco) juga telah membuktikan komitmen negara untuk terus menyumbang ke arah perpaduan negara-negara Islam.

"Kita turut menyuarakan pandangan ke atas isu-isu berkaitan extremism dalam dunia Islam," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Mas Ermieyati berkata demikian sejurus pulang ke tanah air selepas mewakili negara pada Persidangan Menteri Kebudayaan di Muscat, Oman pada Rabu.

Isesco adalah sebuah badan di bawah naungan OIC.



Mas Ermieyati (belakang,kanan) bersama delegasi Persidangan Menteri Kebudayaan di Muscat, Oman - Sumber gambar Mas Ermieyati

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan mengutuk sekeras-kerasnya gejala Islamophobia yang seringkali cuba mengaitkan Islam dengan keganasan.

Tegas Najib, Islamophobia merupakan satu bentuk penindasan dan diskriminasi melampau terhadap masyarakat Muslim.

Dalam pada itu kata Mas Ermieyati, kerajaan turut percaya bahawa bahawa negara Islam dapat terus memajukan diri serta progresif ke arah modenisasi melalui penerapan nilai-nilai dan ajaran agama.

"Salah satu produk negara adalah pelancongan Islamik yang bertujuan untuk merapatkan sillahturahim dan memupuk persefahaman Islam dengan lebih mendalam melalui unsur kebudayaan.

"Kita akan terus memberi sokongan serta bantuan kepada negara-negara Isesco termasuk mengadakan program kerjasama teknikal dengan negara-negara ahli.

"Kita turut menyokong sebarang usaha oleh Isesco dalam menganugerahkan atau mengiktirafkan individu mahupun organisasi yang membawa kepada kebaikan ummah Islam secara keseluruhannya," jelasnya.