Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, mengandungi 51 pengauditan prestasi dan 16 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata pengauditan itu merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, perolehan, program, pengurusan hasil, sosial, keselamatan, pertanian, sukan, bekalan, penternakan, perkhidmatan dan pengurusan syarikat.

"Hari ini juga Jabatan Audit Negara akan beri taklimat berhubung isu-isu utama yang dibangkitkan dalam laporan tersebut kepada anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ambrin berkata seperti biasa Ketua Jabatan berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam laporan tersebut untuk tujuan pengesahan.

Beliau berkata bagi memperbaiki kelemahan yang dilaporkan sebanyak 84 syor untuk Kerajaan Persekutuan, 17 (Badan Berkanun), 112 (Kerajaan Negeri) telah dikemukakan Jabatan Audit.

Selain itu, Kementerian Kewangan turut mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai laporan berkenaan yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu dilaporkan.

Sehubungan itu, satu sesi townhall bersama media akan diadakan esok (Selasa) di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 3.15 petang.

Turut dijadual hadir pada sesi townhall itu ialah Ketua Setiausaha Negara dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Laporan itu bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan dirancang, dilaksanakan, dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program, aktiviti atau projek tercapai.

Ia juga menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat tanpa wujud pemborosan dan pembaziran serta mendapat 'best value for money'.