MALAYSIA
Laporan palsu pempengaruh: Bomba harap tindakan lebih berat

Pada 25 Julai lalu, Tengku Nizaruddin (kiri) dan Tengku Abdul Aziz (dua, kiri) masing-masing dihukum penjara sebulan dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar kerana membuat laporan palsu. - Gambar fail/BERNAMA
MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengharapkan tindakan lebih berat dikenakan terhadap pempengaruh permotoran Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan lelaki itu di Sungai Tui, Bukit Kepong, 14 Julai lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya tetap menghormati keputusan mahkamah dan menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Nor Hisham berkata, tindakan lebih berat perlu bagi memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.
"Kami menghormati keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman terhadap dua beradik itu."Dan jabatan ini juga mempunyai akta yang membolehkan tindakan dikenakan kepada individu yang membuat laporan palsu.
"Kes seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan lebih mengecewakan, individu yang terlibat merupakan pempengaruh di media sosial.
"Sepatutnya mereka menjadi teladan kepada masyarakat, bukannya membuat onar hingga mendatangkan implikasi ke atas pelbagai pihak," katanya.
Nor Hisham menjelaskan, sebelum ini pihaknya banyak berdepan dengan kes panggilan palsu namun ia tidak membabitkan pencarian sehingga menyebabkan pembaziran sumber dan masa.
Pada 28 Julai lalu, AGC memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan serta denda RM1,500 ke atas Tengku Nizaruddin dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, bagi kesalahan membuat laporan palsu.
AGC memaklumkan, rayuan itu difailkan terhadap hukuman ke atas Tengku Abdul Aziz yang mengaku memberi maklumat palsu kepada penjawat awam mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Rayuan turut dibuat terhadap Tengku Nizarudin yang mengaku bersubahat memberi maklumat palsu di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 kanun sama.
Pada 25 Julai lepas, Mahkamah Majistret Muar menjatuhkan hukuman terbabit ke atas Tengku Nizaruddin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija, dan Tengku Abdul Aziz, 30, selepas mereka mengaku bersalah.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua beradik itu menjalani hukuman penjara bermula 25 Julai atau dipenjara tiga bulan jika mereka gagal membayar denda.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami