Hasil laporan siasatan awam ke atas insiden semasa perhimpunan BERSIH 3.0 akan diberikan kepada pihak berkuasa untuk tujuan penambahbaikkan.

Pengerusi Panel Inkuiri Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata ia bagi memastikan pasukan polis tidak bertindak keterlaluan dan bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

ini kerana jelasnya hasil rumusan inkuiri itu mendapati ada peserta yang ditahan pihak polis semasa berada di dalam premis tertentu walaupun mereka telah meninggalkan kawasan perhimpunan.

Bagaimanapun jelasnya peserta dan penguatkuasa perlu menghormati hak masing-masing.

“Peserta perlu menghormati undang-undang dan perlu menghormati kenyataan bahawa pihak polis juga mempunyai peranan dalam mengekalkan keamanan,” katanya

“Anda berhak untuk bersuara dan berhimpun tetapi ia perlu seimbang,” katanya dalam sidang media selepas membacakan hasil siastan inkuiri berkenaan.

Inkuiri itu mendapati pihak polis telah melanggar beberapa hak asasi manusia termasuk soal berhubungan penahanan peserta perhimpunan, kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Tambah Lake Tee siasatan turut mendapati penggunaan bahasa dalam garis panduan disediakan penganjur perhimpunan boleh menggalakkan peserta untuk menyalahi undang-undang.

Dalam masa sama Lake Tee berkata hasil siasatan awam itu mungkin berbeza sekiranya pihak polis memberi kerjasama penuh.

“Ada kemungkinan jika pihak polis memberikan saksi yang boleh menjawab segala pertuduhan hasil siasatan awam mungkin berbeza dan amat sukar bagi kami untuk menekankan hasil siasatan adalah berdasarkan keterangan yang diberi.,” katanya

Sepanjang inkuiri, panel yang terdiri daripada 3 ahli suruhanjaya telah memanggil 49 saksi terdiri daripada orang awam, pengamal media, polis dan pakar.

Inkuiri yang berlangsung sepanjang 29 hari itu bertujuan mengenalpasti sebarang pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan BERSIH 3.0.