Skip to main content

Malaysia

Latihan ketenteraan dilaksana dengan kerjasama rapat kerajaan negeri, agensi - MKN

Sumber: MKN
Sidang MKN menyokong komitmen ATM memastikan setiap latihan dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara profesional, terancang serta mematuhi segala garis panduan, prosedur operasi dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan termasuk aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.

PUTRAJAYA: Latihan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dilaksanakan dengan kerjasama rapat kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya tersusun, selamat dan berhemah selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, sidang MKN semalam menyokong komitmen ATM memastikan setiap latihan dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara profesional, terancang serta mematuhi segala garis panduan, prosedur operasi dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan termasuk aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Pelaksanaan latihan ketenteraan adalah tertakluk kepada prosedur kelulusan yang ketat serta penyelarasan bersama-sama kementerian dan agensi berkaitan.

“Bagi kawasan latihan yang diwartakan mahupun tidak diwartakan, setiap permohonan perlu melalui proses kelulusan serta pengesahan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar atau Ketua Menteri serta agensi teknikal,” menurut MKN dalam kenyataan hari ini. 

MKN memaklumkan, permohonan perlu dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum sesuatu latihan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan prosedur dan sensitiviti setempat sentiasa diberi perhatian sebelum dimaklumkan kepada pemilik kawasan.

Selain itu, MKN memaklumkan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan latihan ketenteraan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa. 

“Penilaian pascalatihan turut akan dilaksanakan bagi meneliti semula keberkesanan pelaksanaan, mengesahkan sebarang impak yang berlaku serta memastikan peruntukan dan tanggungjawab berkaitan kerja pembaikan terhadap sebarang kerosakan ditetapkan dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Sidang MKN juga berpandangan kesiapsiagaan pertahanan merupakan elemen penting dalam memastikan kedaulatan, keselamatan serta kepentingan strategik negara sentiasa terpelihara. 

Pada masa sama, aspek keseimbangan antara keperluan operasi pertahanan dan sensitiviti setempat perlu terus diberi perhatian melalui pendekatan libat urus dan penyelarasan yang berterusan dengan semua pihak berkepentingan.

Pada 24 Mei, Markas ATM menjunjung kasih dan akur dengan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan di negeri itu.

​Markas ATM memaklumkan, sebagai institusi pertahanan negara, ATM sentiasa komited untuk memastikan setiap latihan dan operasi dilaksanakan secara terancang, profesional serta bertanggungjawab.

Sebelum ini, Tengku Hassanal menzahirkan kebimbangan terhadap latihan ketenteraan di kawasan kepulauan di Pahang yang berisiko menggugat ekosistem alam sekitar dan menitahkan agar ATM mendapatkan perkenan Sultan Pahang sebelum melaksanakan sebarang latihan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement