Lawatan bersejarah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Gaza hari ini mencerminkan keberanian Malaysia di persada antarabangsa.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) , Muslim Abu-Umar melihat kunjungan Najib menunjukkan bahawa sokongan padu Kuala Lumpur terhadap perjuangan Palestin bukan satu retorik kosong.

"Lawatan ini menunjukkan langkah berani Malaysia memecah sekatan Gaza oleh rejim Israel yang dibayangi kuasa hegemoni dunia, Amerika Syarikat dan sekutu," kata Muslim ketika ditemubual Astro Awani.

Malah beliau amat gembira kerana langkah berani yang diterjemah melalui lawatan ini jelas mencerminkan pendirian Malaysia yang tidak gentar dengan sebarang implikasi dari blok negara kuasa.

"Kita tahu tindakan ini pasti tidak menggembirakan sekutu-sekutu Israel yang menguasai landskap geo-politik dunia," tambah Muslim.

Sementara itu, WAN MAHAZIR WAN MAHAMUD melaporkan Pengarah TV Quds Gaza, Dr. Imad Al-Efranji yang dihubungi di Gaza turut berkongsi pendirian sama.

"Lawatan Perdana Menteri Malaysia ini memberi makna yang amat besar kerana ini juga menunjukkan ia berjaya memecah sekatan zalim ke atas Gaza sejak 6 tahun lalu yang dikenakan oleh orde baru dunia," kata Dr. Imad.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memasuki Semenanjung Gaza yang didiami 1.7 juta rakyat Palestin untuk lawatan kemanusiaan pada Selasa.

Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama menjejak kaki di bumi Palestin itu.

Dalam misi itu, Najib melawat sekolah yang dibiayai rakyat Malaysia, Al Madrasah Al Malaziah serta meninjau tapak pembinaan pejabat baharu untuk Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh.

Pejabat lama Ismail musnah akibat serangan Israel pada November lepas.