Lawatan negara Agong buka lembaran baharu hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain

Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa meraikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Majlis Santapan Negeri di Istana Sakhir. - Gambar fail/ Bernama
MANAMA (Bahrain): Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Bahrain yang berakhir malam tadi, membuka lembaran baharu dalam hubungan persahabatan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.
Ringkasan AI
- Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Bahrain menjanjikan peningkatan kerjasama dan hubungan diplomatik antara kedua negara.
- Sultan Ibrahim menggunakan istilah 'kekanda' untuk merujuk kepada Raja Bahrain, menyatakan kasih sayang dan penghormatan yang tinggi.
- Raja Hamad dari Bahrain menzahirkan komitmen untuk menjadi rakan strategik jangka panjang Malaysia, memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang.
"Tuanku, kekandaku, walaupun saya berada jauh dari tanah air, saya tidak pernah terasa jauh di Kerajaan Bahrain yang indah ini. Bagi saya, Bahrain bagaikan rumah sendiri.
"Saya tidak pernah menyangka akan menemui seseorang di bahagian dunia ini yang benar-benar boleh saya panggil sebagai kekanda. Bahrain bukanlah asing bagi Malaysia. Kita berkongsi persamaan, saling menghormati, serta semangat persaudaraan," titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah bahawa Malaysia dan Bahrain saling menghormati serta berkongsi nilai, aspirasi dan komitmen terhadap keamanan, kesejahteraan serta kemajuan rakyat masing-masing.
Raja Hamad dalam titah balas baginda menzahirkan komitmen Bahrain untuk menjadi rakan strategik jangka panjang kepada Malaysia, dengan mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
"Tuanku dan negara Tuanku telah menjadi saudara serta sekutu setia kepada Bahrain, dan sebagai penghargaan atas kunjungan Tuanku ini, saya dengan tulus berharap agar persahabatan kita akan terus berkembang dan makmur pada tahun-tahun yang akan datang," titah Raja Hamad.
Lawatan ke Bahrain merupakan lawatan negara keenam Seri Paduka Baginda selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong pada Khamis disambut penuh gilang gemilang oleh Raja Hamad, termasuk beberapa program istimewa yang buat julung kalinya diberikan kepada ketua negara asing.
Antara pengisian lawatan ialah kunjungan dan upacara di Tugu Peringatan Syuhada', sebuah lokasi penting dalam sejarah Bahrain yang terletak berdekatan Istana Sakhir, serta sambutan besar-besaran ketika melawat ke Kementerian Dalam Negeri Bahrain (Kubu Polis).
Deretan Jalur Gemilang dan bendera Bahrain turut berkibar megah di sepanjang jalan utama bandar raya ini, termasuk di Istana Sakhir, bagi meraikan keberangkatan Seri Paduka Baginda.
Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam lawatan ini, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj selain Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Yang di-Pertuan Agong berangkat pulang ke tanah air pada Sabtu dengan pesawat khas dari Lounge Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq pada 8 malam (1 pagi waktu Malaysia).
Tahun lepas, nilai perdagangan dua hala Malaysia-Bahrain berjumlah RM1.19 bilion (USD$0.26 bilion), menjadikan Bahrain rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


