Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (KLN) pada Ahad, ia merupakan lawatan julung kali Muizzu ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden pada 17 November 2023.
Kementerian berkata, Muizzu akan diiringi oleh Menteri-menteri Kabinet, termasuk Menteri Luar, Abdulla Khaleel, serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan.
Muizzu akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, esok.
“Beliau kemudiannya akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta peluang kerjasama antara Malaysia dan Maldives, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu KLN berkata, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu Kerjasama dalam bidang Pelancongan; Kerjasama dalam bidang Sukan; dan Kerjasama dalam bidang Kesihatan.
Ia berkata, pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) akan turut disaksikan oleh kedua-dua pemimpin melibatkan bidang Latihan Diplomatik dan penubuhan Konsultasi Dua Hala antara Malaysia dan Maldives.
“Perdana Menteri akan menghoskan Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Rasmi bagi meraikan Muizzu di Kompleks Seri Perdana. Pada 29 April 2025, Muizzu akan dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Penganugerahan ijazah kehormat ini akan disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM,” menurut kenyataan itu lagi.
KLN berkata, bersempena penganugerahan tersebut, Muizzu juga akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilisation”.
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (US$189 juta), berbanding RM827.3 juta (US$180.9 juta) pada tahun 2023.
Republik Maldives merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
