KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh membeli-belah ubat-ubatan, vitamin, keperluan pelengkap kesihatan dan alat peranti kesihatan dengan lebih selamat, yakin dan mudah secara dalam talian susulan kerjasama yang terjalin antara Lazada Malaysia (Lazada) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).

Kenyataan Lazada pada Rabu memaklumkan bahawa kerjasama itu, yang terjalin susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada 25 Mei lepas bagi bagi membolehkan MPS membuat pengesahan terhadap farmasi dalam talian dan para penjual bagi kategori kesihatan di platform e-dagang itu sekali gus memberikan tambah nilai dan kelebihan daya saing kepada farmasi dalam talian.

Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik ini bakal memangkin visi ke arah merealisasikan pembentukan ekosistem eDagang yang berteraskan kepercayaan yang kukuh di kalangan para pengguna, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan membeli produk medikal dan kesihatan yang diperakui daripada penjual dalam talian yang berwibawa dan bertauliah.

"Pengesahan tersebut akan diberikan oleh MPS kepada farmasi atau kedai utama di LazMall - destinasi dalam talian bagi jenama yang dijamin tulen - dan juga kepada para penjual bagi kategori kesihatan di Lazada Marketplace.

"Para pelanggan boleh mengenal pasti farmasi dalam talian yang telah disahkan oleh MPS dengan memeriksa 'Sijil Pengesahan MPS' yang dipaparkan di halaman depan kedai mereka," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Lazada Darren Rajaratnam berkata pengesahan MPS terhadap farmasi dalam talian di platform e-dagang itu akan melindungi para pelanggan dan menambah keyakinan semasa membeli produk medikal dan kesihatan dalam talian.

"Dengan adanya lebih banyak penjual produk kesihatan bertauliah serta farmasi dalam talian, ini akan membolehkan para pelanggan mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan dengan lebih mudah, di samping membantu mereka menjimatkan wang dan masa," menurutnya dalam kenyataan sama.

Presiden MPS Amrahi Buang pula berkata pengesahan itu merupakan satu testimoni terhadap kredibiliti e-farmasi, lantas memberikan para pelanggan jaminan dan keyakinan apabila membeli produk kesihatan untuk diri mereka dan keluarga yang tersayang.

"Bagi Persatuan Farmasi Malaysia, kami mengambil serius tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap kepentingan memilih produk yang diperakui daripada e-farmasi yang bertauliah.

"Maka dengan itu, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Lazada bagi menggalakkan usaha ke arah verifikasi MPS bagi farmasi dalam talian, lantas mendukung kaliber ahli farmasi dan pakar kesihatan profesional dalam sektor farmaseutikal," katanya.

Beliau juga berkata pelbagai produk kesihatan bagi farmasi dalam talian akan diserlahkan menerusi 'LazHealth' iaitu pusat sehenti di aplikasi Lazada Malaysia sekali gus membolehkan para pelanggan mendapatkan rangkaian produk kesihatan yang diperakui dengan lebih mudah, yakin dan selamat.

-- BERNAMA