KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab menyiasat secara terperinci setiap aspek perbelanjaan melibatkan projek Littoral Combatant Ship (LCS) susulan pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis.

Gesaan itu dilakukan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang yang turut mempersoalkan kelewatan badan itu dalam mengambil tindakan terhadap siasatan projek berkenaan.

"Kini, tanggungjawabnya terletak pada SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memberitahu rakyat sama ada wang ini telah disedut keluar dan siapa yang telah menerima manfaat darinya.

"Bolehkah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki beritahu rakyat Malaysia, apa yang sedang dilakukan SPRM mengenai laporan PAC ini dan jelaskan mengapa badan tersebut tidak bertindak awal lagi?" soal Lim.

PAC dalam laporannya berhubung projek itu memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga veteran DAP turut kesal dengan kerugian dana RM6 bilion berhubung projek berkenaan.

"Walaupun bekas Panglima Tentera Laut Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar telah menggambarkan proses membuat keputusan dalam projek LCS ini sebagai 'sangat salah', laporan PAC memberitahu kita bahawa 'semuanya salah' dalam projek LCS yang bernilai RM9 bilion ini.

"Daripada pelantikan kontraktor, pilihan reka bentuk kapal, sehinggalah kepada bagaimana wang pembayar cukai dibelanjakan, dibakar dan dibazirkan," ujarnya.

Lim turut mendesak Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan penjelasan dalam pemilihan reka bentuk kapal melibatkan projek LCS.

"Ahmad Zahid perlu menjelaskan kepada seluruh negara mengapa dia membuat keputusan sebegini yang memberikan kelebihan kepada kontraktor tersebut, kerana perkara ini adalah isu yang melibatkan keselamatan negara dan pihak tentera laut yang akan perlu berperang menggunakan LCS ini.

"Apakah perkara yang mendorong Ahmad Zahid untuk mengabaikan surat bantahan yang dihantarkan Abdul Aziz yang telah menjejaskan kepentingan pihak tentera laut dan negara?" soal beliau lagi.