KUCHING:Pembinaan jaringan Laluan Keselamatan Sempadan dengan jarak 1.032 kilometer telah dicadangkan memandangkan kepentingan keselamatan sempadan tidak boleh dipandang ringan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, jaringan laluan itu akan bermula dari Biawak ke Lubok Antu melalui bahagian Kapit dan Sungai Baram Atas sebelum ke Bario dan akhirnya dihubungkan dengan Jalan Hubungan Sarawak-Sabah (SSLR).

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, anggaran pembinaan laluan itu bernilai RM24 bilion dan kementeriannya akan memohon peruntukan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

"Jalan Keselamatan Sempadan ini apabila siap kelak akan membolehkan kita melindungi hasil bumi negeri seperti Paip Gas Sarawak-Sabah dan empat empangan hidroelektrik iaitu, Empangan Bakun, Murum, Baleh dan Batang Ai, yang semuanya terletak berdekatan dengan sempadan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.

Selain itu, Masing memberitahu, kementeriannya turut membantu agensi lain dalam melaksanakan 142 projek infrastruktur rakyat bernilai RM5.6 bilion.

Setakat 3 November ini, daripada 142 projek itu, 16 projek sudah siap; 78 masih dalam pembinaan manakala 48 lagi di bawah reka bentuk.

Katanya, ia melibatkan 85 projek pembinaan jalan; 27 jambatan; 24 bangunan; empat jeti dan dua lapangan terbang.

Dalam pada itu, Masing berkata, kerajaan GPS akan mencari jalan untuk mempercepatkan pembinaan dan menyiapkan Jalan Pesisir dan Lebuhraya Kedua bagi membolehkan rakyat di negeri itu menikmati pembangunan tersebut apabila siap kelak.

"Setakat ini, di bawah Jalan Pesisir dan Lebuhraya Kedua terdapat 13 jambatan yang mana 10 daripada sedang dalam pembinaan manakala tiga lagi dalam proses dokumentasi," katanya.