Lebih 1,400 pegawai, anggota polis Perak siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

Noor Hisam (kanan) beramah mesra dengan peserta simulasi Latihan Lapangan (Field Training Exercise - FTX) Pengurusan Bencana (Op Cerun) di Taman Eko Rimba Kledang Saiong hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Lebih 1,400 pegawai dan anggota polis di Perak kini bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka bermula bulan depan hingga Mac.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pemantauan risiko akan dilaksana 24 jam di seluruh negeri selain penumpuan diberikan kepada semua jenis bencana termasuk banjir.
"Pemantauan kali ini diperluas ke semua lokasi memandangkan ada kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir kini turut terjejas.
"Kita juga telah membuka bilik gerakan di peringkat negeri manakala di peringkat daerah pula terdapat Pusat Kawalan Daerah (PKD) yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan penduduk terjejas membuat laporan untuk tindakan susulan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Field Training Exercise (FTX) Pengurusan Bencana (Op Cerun) di sini hari ini.
Kira-kira 100 individu terdiri daripada kakitangan pelbagai jabatan kerajaan menyertai program berkenaan di Taman Eko Rimba Kledang Saiong yang bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menguruskan insiden bencana, khususnya kejadian tanah runtuh.
Noor Hisam berkata pelbagai aset akan digerakkan termasuk melalui bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) yang berpangkalan di Segari bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi MTL.
"Pada masa sama, kita juga dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak serta agensi berkaitan bagi memudahkan operasi," katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisam berkata cuaca yang tidak menentu ketika ini memerlukan orang ramai sentiasa berwaspada termasuk mengurangkan aktiviti riadah di kawasan air bagi mengelakkan sebarang risiko.
"Pencegahan lebih baik daripada penyesalan. Jadi, kita harap orang ramai dapat mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya sesuatu kawasan ditutup demi keselamatan bersama," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

