KOTA KINABALU: Jumlah individu dewasa di Sabah yang sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 kini melebihi 1.6 juta orang atau 59.4 peratus setakat 21 September 2021, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata seramai 1,959,277 orang lagi atau 72.1 % populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

"Bagi golongan remaja, seramai 144,248 daripada 426,200 populasi remaja 12 hingga 17 tahun di Sabah sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNtech.

"Ia merupakan angka yang memberangsangkan walaupun negeri ini baru memulakan program imunisasi melibatkan remaja pada 16 September lalu," katanya pada sidang DUN Sabah.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang ingin tahu mengenai jumlah terkini rakyat Sabah lengkap divaksin serta langkah-langkah diambil kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi di negeri itu.

Selain bekalan vaksin yang terhad sebelum pertengahan bulan Julai, Shahelmey memberitahu kesukaran penduduk berusia 60 tahun ke atas mendaftar dalam sistem MySejahtera pada permulaan Fasa 2 menjadi antara faktor kadar pemberian vaksin yang agak perlahan di negeri itu.

Beliau yang juga Pengarah Program Imunisasi Sabah optimis Sabah dijangka mencapai imuniti kelompok menjelang hujung Oktober 2021.

"Perkara itu disandarkan berdasarkan melalui usaha memperhebat program imunisasi, pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan program outreach di pedalaman. Setakat ini, 224 PPV dibuka di seluruh Sabah dengan kapasiti suntikan 83,140 dos sehari," katanya.

Mengulas mengenai bekalan vaksin, Shahelmey menjelaskan, setakat 20 September 2021, jumlah bekalan vaksin yang dibekalkan ke Sabah adalah sebanyak 5,042,310 dos.

"Untuk bulan September ini, tambahan sebanyak 2.89 juta dos akan dibekalkan. Jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan vaksinasi bagi penduduk yang belum menerima vaksin," katanya.