Polis Kota Kinabalu menerima 55 kes penipuan melalui panggilan telefon atau 'Macau Scam' dan sindiket peminjam wang yang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM1 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata daripada jumlah kes berkenaan, 11 kes 'Macau Scam' melibatkan kerugian kira-kira RM728,904 manakala 44 kes ialah sindiket pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian sebanyak RM359,842.78.

Beliau berkata kes terbaru 'Macau Scam' dilaporkan pada 22 Jun lepas melibatkan seorang wanita berusia 64 tahun yang kerugian RM280,100.

"Wanita ini menerima mesej yang mengatakan kad kreditnya telah digunakan untuk membeli berlian bernilai RM4,000 yang diapun (mangsa) tidak pernah beli," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya mangsa kemudian menghubungi nombor telefon seorang 'pegawai bank' seperti diminta anggota sindiket dan 'pegawai bank' itu kemudian mengesahkan bahawa memang ada transaksi pembelian berlian itu.

Bagaimanapun katanya, 'pegawai bank' berkenaan meminta mangsa menghubungi seorang 'pegawai Bank Negara' untuk membuat semakan lanjut dengan memberikan nombor telefon 'pegawai Bank Negara' yang dimaksudkan.

Untuk membolehkan siasatan dibuat, mangsa kemudian memasukan wang sebanyak RM280,100 ke dalam enam akaun seperti diarahkan 'pegawai Bank Negara' berkenaan namun selepas itu 'pegawai' itu tiba-tiba dapat dihubungi.

Kes terbaru melibatkan sindiket 'pinjaman tidak wujud' pula berlaku pada 15 Sept lalu melibatkan seorang akauntan wanita berumur 38 tahun.

Menurut Chandra, melalui iklan dalam media sosial, wanita berkenaan ditawarkan pinjaman mudah sebanyak RM50,000 dengan kadar faedah rendah yang kemudian dipersetujui mangsa dengan membuat bayaran proses sebanyak RM648.

Bagaimanapun, katanya, selepas melihat cek kelulusan pinjamannya dalam media sosial berkenaan, mangsa mengambil keputusan menambah jumlah pinjamannya hingga ke RM1 juta dengan bayaran proses sebanyak RM103,000 melalui 12 transaksi.

Sementara itu, M Chandra berkata setakat tahun ini, lima suspek telah ditahan berkaitan dengan sindiket ini dan empat daripadanya telah dituduh di mahkamah.

-- BERNAMA